Khamis, 10 Oktober 2019 | 11:47pm

Awasi kanak-kanak, elak kawasan sistem kumbahan - IWK

KUALA LUMPUR: Syarikat perkhidmatan pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) menggesa orang ramai untuk awasi pergerakan kanak-kanak supaya tidak mendekati atau mencerobohi kawasan sekitar sistem kumbahan.

Ia bagi mengelak kejadian budak berusia tiga dan lima tahun maut akibat terjatuh ke dalam lubang kumbahan di Ipoh dan Kuantan, di tangki septik komunal dan individu milikan persendirian, berulang lagi.

IWK dalam kenyataannya menyatakan pemilik premis yang menggunakan tangki septik bertanggungjawab untuk penyelenggaraan tangki terbabit seperti yang termaktub dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Tangki ini perlu dikosongkan sekurang-kurangnya setiap dua tahun sekali bagi mengelakkan enapcemar yang terkumpul di dalamnya menjadi keras.

“Pemilik tangki septik komunal dan individu disarankan untuk melakukan pemeriksaan keadaan tangki seperti pada struktur dan penutup logam agar sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Mereka perlu memastikan keselamatan aset terbabit terjaga, berpagar dan berkunci sepanjang masa,” katanya.

Disamping itu, IWK turut menzahirkan rasa simpati kepada mangsa dan keluarganya.

Semalam, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut akibat terjatuh ke dalam lubang kumbahan rumah di Jalan Gambang, Kuantan.

Mangsa dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam lubang yang pada asalnya dikatakan tertutup.

Dalam satu lagi kejadian pada 8 Oktober lalu, Mohammad Anas Hadif Ahmad Hafiz, 3, ditemui maut dalam lubang kumbahan di kawasan kuarters Balai Polis Pasir Puteh di Ipoh, dipercayai terjatuh.

Berita Harian X