Khamis, 10 Oktober 2019 | 9:03pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng hadir pada Dewan Rakyat bersambung, di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali.

DAP yakin dua ADUN tidak bersalah

KUALA LUMPUR: DAP yakin dua pemimpinnya yang ditahan pihak berkuasa hari ini, tidak bersalah selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, berkata sepanjang pembabitannya dalam parti, tidak ada sebarang petunjuk yang menunjukkan mereka terbabit kegiatan bertentangan pendirian parti yang mempromosikan kesederhanaan, menolak keganasan dan mencari penyelesaian secara aman.

Penangkapan itu mengejutkan dan parti sudah menyatakan komitmen kepada pihak berkuasa untuk berdiri teguh di belakang dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditangkap iaitu ADUN Gadek, G Saminathan dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran.

“Saya diberi makluman siasatan ke atas kedua-duanya tertakluk mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang membenarkan penahanan selama 28 hari.

“Polis menjanjikan siasatan segera bagi membolehkan kertas siasatan diserah kepada Jabatan Peguam Negara dan dua pemimpin kami dibebaskan lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dalam sidang media petang tadi mengesahkan penahanan tujuh individu termasuk dua ADUN itu selepas dipercayai terbabit LTTE.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, polis juga mendakwa mempunyai bukti kukuh untuk membuat tangkapan itu, selain sudah merujuk semua pihak berkuasa peringkat atasan, sebelum tindakan diambil.

“Saya juga dimaklumkan lebih ramai individu akan ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan LTTE, namun tiada lagi pemimpin atau wakil rakyat DAP disasarkan,” katanya.

Guan Eng berkata, DAP sudah menyediakan pasukan undang-undang diketuai Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bagi mewakili dua pemimpinnya itu.

“Polis juga berjanji memberi akses keluarga dan peguam kepada kedua-duanya. Polis juga memuji sikap kedua-duanya kerana memberi kerjasama penuh dan tenang ketika penahanan dibuat,” katanya.

Katanya, DAP sudah meminta Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran mewakili parti itu untuk berhubung dengan pihak berkuasa, peguam dan keluarganya.

Berita Harian X