Khamis, 10 Oktober 2019 | 8:39pm
MENTERI Sumber Manusia, M Kulasegaran berucap pada Seminar Teknologi AR dan VR di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA

Kerajaan pertimbang guna teknologi AR,VR dalam TVET

Kerajaan pertimbang guna teknologi AR,VR dalam TVET

Oleh Norzamira Che Noh

bhnews@bh.com.my

Foto Bernama

SHAH ALAM: Kerajaan akan mempertimbangkan penggunaan teknologi Realiti Tertambah dan Realiti Maya atau AR/VR terutama dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Menjelaskan perkara itu, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, ia teknologi terbaru yang boleh diguna pakai dalam institusi TVET.

“Ia (teknologi) yang bagus kerana boleh mengurangkan kos dan antara persediaan untuk kita menuju Revolusi Industri 4.0.

“Ini adalah masa depan, jika tidak menggunakannya, kita akan mengalami kerugian besar dan ketinggalan,” katanya pada Seminar Teknologi AR dan VR di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah dan Pengarah Azimuth Holovis UK, Datuk Sri Suresh E Abhisegam.

Kulasegaran berkata, penggunaan teknologi itu juga dapat mengurangkan jurang atau perbezaan dalam sistem penyampaian pendidikan.

Katanya, sebagai contoh, pengajaran Bahasa Inggeris di Kangar, Perlis dan Sandakan, Sabah berbeza bergantung pada guru, namun teknologi ini membolehkan seorang guru mengajar dengan cara sama kepada murid tanpa mengira lokasi.

Sementara itu, Suresh berkata, penggunaan teknologi berkenaan akan menarik minat generasi belia terutama daripada sektor TVET.

“Industri sudah maju, tetapi cara pembelajaran dan latihan kita masih sama seperti 10 tahun lalu. Justeru, kita perlu berubah seiring kemajuan teknologi,” katanya.

Berita Harian X