Khamis, 10 Oktober 2019 | 8:25pm
PENGERUSI SPR, Datuk Azhar Azizan Harun. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Tiada pilihan raya negeri di Perak - SPR

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini, menafikan dakwaan mereka sedang mengambil tindakan untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) di Perak seperti dilaporkan media semalam.

Sebaliknya, Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun menegaskan lawatan ke sekolah itu adalah urusan semakan yang dijalankan SPR dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, urusan itu sedang berjalan di seluruh negara sejak Disember 2018 bagi melihat kesesuaian pusat mengundi sedia ada.

Ini bagi memastikan jumlah pengundi di sesebuah pusat mengundi tidak terlalu ramai dan pelaksanaan urusan ini selaras Seksyen 7(2) Akta Pilihan Raya 1958.

“Oleh itu, SPR ingin menasihati mana-mana pihak media atau orang ramai supaya merujuk kepada SPR terlebih dulu untuk mendapatkan kepastian, sebelum menyiarkan sebarang berita berhubung urusan pilihan raya bagi mengelak kekeliruan kepada pihak awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Laporan media turut menyiarkan surat Jabatan Pendidikan Negeri Perak kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak berhubung kelulusan mengadakan lawatan ke sekolah yang dijadikan pusat mengundi.

Semalam, Kerajaan Perak menafikan PRN bakal diadakan tidak lama lagi berikutan penyebaran surat mendakwa SPR mengadakan lawatan awal ke sekolah sebagai pusat mengundi dalam tempoh tiga bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, dilaporkan berkata sehingga kini kerajaan negeri belum dapat memastikan kesahihan surat berkenaan yang tular dalam media sosial.

Kenyataan itu dibuat susulan tular surat jawapan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak terhadap permohonan SPR untuk memohon kebenaran lawatan awal tapak ke sekolah sebagai pusat mengundi di negeri ini.

Surat itu menyatakan jabatan berkenaan tiada halangan terhadap SPR untuk berurusan dengan sekolah dalam masa antara jam 8 pagi hingga 5 petang sepanjang tempoh 1 September lalu sehingga 30 November ini.

Berita Harian X