Khamis, 10 Oktober 2019 | 8:00pm
Pekerja mengasingkan kerang hidup yang bercampur kulit kerang mati di Jeti Nelayan Kampung Bagan Panchor, Pantai Remis. - NSTP/Abdullah Yusof

Tangkapan, ternakan kerang merudum

PANTAI REMIS: Bukan sahaja kuantiti merosot teruk, saiz kerang yang didaratkan oleh pencari dan penternak juga merudum sehingga 75 peratus.

Masalah itu didakwa berpunca kemerosotan kualiti air laut termasuk pencemaran bahan kimia, khususnya dari kolam ternakan udang, kini bukan sahaja membelenggu nelayan yang menjadikan tangkapan atau ternakan kerang sebagai mata pencarian, malah menyebabkan harga jualan kerang melonjak kerana kekurangan bekalan.

Berbanding lima tahun lalu, mencari kerang bersaiz duit syiling 20 sen tidaklah sesukar sekarang, namun kini saiz seperti itu semakin sukar diperoleh.

Isu kemerosotan hasil pendaratan kerang bukan isu baharu, malah Jabatan Perikanan melalui laporan yang dikeluarkan awal tahun ini, menjangkakan kerang mungkin pupus di negara ini dalam tempoh tiga tahun lagi jika kualiti air terus merosot.

Beberapa pengusaha ternakan kerang mendakwa faktor utama saiz kerang semakin kecil dan hasilnya menyusut disebabkan kemerosotan kualiti air laut yang menjadi ancaman utama kepada populasi kerang dan penternak.

Nelayan menunjukkan kerang yang mati sebelum usia matang. - NSTP/Abdullah Yusof

Nelayan menunjukkan kerang yang terbantut (kanan) dan kerang normal. - NSTP/Abdullah Yusof

Kualiti air yang merosot akan turut mengakibatkan kurangnya pembentukan lumpur dalam laut yang menjadi makanan kerang, selain mengakibatkan kerang mudah mati dan perlu dituai lebih awal berbanding masa sepatutnya menyebabkan kerugian kepada penternak.

Meskipun orang ramai mendakwa saiz kerang yang kecil berpunca tuaian dilakukan sebelum tempoh matang, penternak menafikan perkara itu sebaliknya mendakwa tuaian dilakukan mengikut tempoh ditetapkan Jabatan Perikanan.

Pengusaha kerang di Bagan Panchor, dekat sini, mengakui hasil turun mendadak sejak 10 hingga lima tahun lalu dan mendakwa semakin merosot malah ada ketika mereka mengalami rugi.

Mereka mendakwa masalah itu disebabkan kualiti air laut yang semakin merosot, pencemaran bahan kimia khususnya dari kolam ternakan udang berhampiran yang turut menyebabkan kepupusan beberapa spesies ikan serta cuaca panas berterusan yang menyebabkan tanah menjadi keras dan kerang mudah mati.

Pengusaha, Roslan Yusof, 52, yang sudah 22 tahun menjadi nelayan dan mengusahakan ternakan kerang berkata, hasil pendaratan kerang jatuh teruk sehingga mencecah 75 peratus sejak kebelakangan ini.

Pengusaha kerang, Roslan Yusof. - NSTP/Abdullah Yusof

“Paling teruk dua tiga tahun kebelakangan ini. Apabila tiba masa tuai hasil, dalam tiga bakul penuh yang dituai, banyaknya hanya kulit kerang dan sampah berbanding isi (kerang hidup).

“Dalam tiga bakul yang dikaut, mungkin hanya satu atau satu setengah yang berisi kerang hidup, selebihnya hanya kulit kerang yang sudah mati.

“Banyak faktor menyebabkan kerang semakin berkurangan, paling utama kualiti air yang kotor kerana pencemaran bahan kimia.

“Kami penternak sangat yakin ia disebabkan pembuangan sisa kimia dari kolam ternakan udang yang ada di kawasan ini hingga mengakibatkan bukan sahaja kerang berkurangan, malah menjejaskan hasil laut lain termasuk beberapa spesies ikan,” katanya.

Roslan mendakwa, antara hasil laut yang kini semakin berkurangan dan terjejas akibat tindakan itu adalah ikan sembilang, belanak, belukang, udang galah, ketam, siput dan lala.

Nelayan mengasingkan kerang hidup yang sudah bercampur dengan kulit kerang yang sudah mati di Jeti Nelayan Kampung Bagan Panchor, Pantai Remis. - NSTP/Abdullah Yusof

Jelasnya, perusahaan ternakan udang turut mengakibatkan kemusnahan hutan paya bakau yang sekian lama menjadi kawasan pembenihan pelbagai spesies hidupan laut.

Seorang lagi penternak kerang, Faizol Sofian, 42, berkata selain faktor pencemaran yang mengakibatkan kualiti air merosot, faktor semula jadi iaitu perubahan cuaca juga punca masalah itu.

“Tidak dinafikan hasil kerang merosot teruk sejak lima tahun kebelakangan, malah dua tahun berturut-turut, ramai pengusaha kerugian kerana hasil yang diperoleh tidak dapat menampung kos. Saya juga tidak terlepas daripada menanggung kerugian.

“Selain pencemaran air yang disebabkan oleh pembuangan sisa kimia oleh pengusaha ternakan kolam udang yang mengakibatkan hasil laut terjejas termasuk kerang, perubahan cuaca khususnya musim angin tenggara yang panjang mengakibatkan tanah (lumpur laut) mengeras dan membantutkan tumbesaran kerang serta menjejaskan hasil,” katanya.

Berita Harian X