Khamis, 10 Oktober 2019 | 6:56pm

Pelan pembangunan stesen KTM Ipoh, ETS2 dilancar

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan melancarkan Pelan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh (iRide) berasaskan konsep pembangunan berasaskan transit (TOD) di sini.

Baginda turut melancarkan perkhidmatan tren elektrik terbaru, ETS2 yang menawarkan koc perniagaan disediakan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Turut hadir, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Dalam ucapannya, Loke berkata, kawasan seluas 78 hektar di sekitar stesen dan jajaran kereta api di Ipoh dikenal pasti bagi pelaksanaan projek pembangunan TOD itu.


SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan bergambar berlatarbelakang ETS2 pada majlis pelancaran perkhidmatan tren elektrik itu di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

Katanya, projek kerjasama Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) juga akan membangunkan kawasan seluas 27 hektar secara bersepadu dan diintegrasi dengan hab pengangkutan.

“Pembangunan di kawasan ini dipecahkan mengikut segmen tertentu merangkumi perumahan termasuk mampu milik, hotel, institusi pendidikan, komersial, kawasan hijau dan bercampur bagi memastikan pembangunan ini seimbang dan komprehensif,” katanya.

Katanya, perkhidmatan ETS2 pula menyediakan koc kelas perniagaan yang lebih selesa dan kondusif untuk penumpang.

“Pada masa depan, KTMB merancang meningkatkan perkhidmatan ETS kepada 50 perkhidmatan sehari bagi membolehkan 5.7 juta penumpang menggunakan ETS setahun atau 15,600 penumpang sehari,” katanya.

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan mencemar duli merasmikan perkhidmatan tren elektrik terbaharu ETS2 bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. NSTP/Salhani Ibrahim
Berita Harian X