Selasa, 8 Oktober 2019 | 8:00pm

Pengusaha bas sekolah digesa mohon lesen

KUALA LUMPUR: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memandang serius operasi bas dan van sekolah haram yang didakwa semakin berleluasa di negara ini.

Unit Komunikasi Korporatnya dalam satu kenyataan semalam, menggesa pengusaha perkhidmatan terbabit supaya mendaftar dan memohon lesen perniagaan bas sekolah secepat mungkin bagi mengelak sebarang masalah.

“APAD sentiasa terbuka untuk membantu pengusaha bas dan van sekolah yang belum mendaftar perniagaan. Kadar bayaran permohonan lesen perkhidmatan bas sekolah hanya serendah RM10 bagi setiap permohonan,” katanya.

Agensi berkenaan juga menasihatkan ibu bapa sentiasa memastikan keselamatan anak mereka dengan tidak sesekali menggunakan perkhidmatan van atau bas sekolah haram.

“Penggunaan perkhidmatan bas sekolah yang tidak sah bukan sahaja berisiko, tetapi juga mendedahkan anak mereka kepada bahaya kerana ia tidak mempunyai perlindungan insurans.

Ibu bapa perlu memilih bas sekolah yang memiliki lesen demi menjamin keselamatan anak-anak. - Foto hiasan

“Perkhidmatan itu juga menyalahi undang-undang jalan raya dan boleh membawa kepada masalah besar sekiranya berlaku kemalangan.

“Untuk makluman, setiap murid yang menggunakan khidmat bas atau van sekolah yang berdaftar turut dilindungi Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan,” katanya.

Agensi berkenaan memaklumkan, berdasarkan rekod sehingga September lalu, ada 14,086 bas sekolah berdaftar dengan APAD di seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid, dalam satu kenyataan ringkas, menegaskan jabatan berkenaan sentiasa melaksanakan operasi secara berterusan.

“JPJ menjalankan operasi berterusan bagi memastikan semua pemilik bas dan van sekolah mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Semalam, BH melaporkan Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM), mendedahkan ada lebih 50,000 van, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta beroperasi secara haram mengangkut murid serta kanak-kanak kelas prasekolah di seluruh negara.

Keratan akhbar BH, semalam.

Presidennya, Amali Munif Rahmat dilaporkan mendakwa, jumlah kenderaan ‘sapu’ yang memberi perkhidmatan berkenaan di seluruh negara semakin meningkat.

Yang menimbulkan persoalan ialah kenapa khidmat kenderaan ‘sapu’ terus menjadi pilihan ibu bapa atau penjaga murid sedangkan operasi berterusan dilaksanakan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Tinjauan BH di sekolah sekitar Bangsar, Lembah Pantai dan Bangi, mendapati banyak kenderaan persendirian menyediakan khidmat itu, malah MPV ‘sapu’ juga semakin banyak digunakan dengan membawa sekurang-kurangnya 10 murid pada satu-satu masa.

Sesetengah pihak menyalahkan ibu bapa sebagai punca isu van sekolah haram tiada berkesudahan, namun dakwaan mereka berbuat demikian untuk mengelak bayaran tambang tinggi dikenakan pengusaha bas dan van sekolah berdaftar, adalah tidak tepat.

Maklumat diperoleh BH mendapati tambang dikenakan pengusaha berlesen dan pengusaha haram ke atas setiap murid lebih kurang sama, iaitu antara RM50 hingga RM400 sebulan, bergantung kepada jarak dan kekerapan penggunaan.

Rata-rata ibu bapa yang mengupah kenderaan ‘sapu’, mengakui tahu risiko yang dihadapi kerana kenderaan terbabit tiada perlindungan insurans kemalangan, namun mendakwa mereka tiada pilihan kerana bilangan bas atau van sekolah berdaftar sangat terhad.

PPBSM tak galak ahli guna orang tengah di PUSPAKOM

Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) tidak menggalakkan ahlinya menggunakan orang tengah bagi urusan pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Presidennya, Mohd Rofik Mohd Yusof, berkata penggunaan khidmat orang tengah menyebabkan caj dikenakan berganda dan pengusaha terpaksa mengeluarkan kos lebih daripada sepatutnya.

Mohd Rofik Mohd Yusof.

Katanya, ahli PPBSM perlu melakukan urusan itu sendiri bagi mengelak menjadi mangsa segelintir individu yang cuba mengambil kesempatan mendapatkan keuntungan dengan cara mudah.

“Kita tidak galakkan pengusaha bas sekolah mengunakan khidmat orang tengah ketika berurusan dengan PUSPAKOM kerana ia merugikan mereka. Orang tengah mengambil kesempatan mendapatkan keuntungan berganda.

“Bayaran pemeriksaan dikenakan PUSPAKOM hanya antara RM20 hingga RM90 mengikut saiz kenderaan, namun caj perkhidmatan dikenakan orang tengah boleh mencecah RM200 hingga RM300,” katanya.

Mohd Rofik berkata, pengusaha bas sekolah antara pelanggan yang kerap membuat pemeriksaan di PUSPAKOM untuk memastikan tahap keselamatan kenderaan sentiasa terjamin.

“Tambahan pula, ada sebahagian bas sekolah yang sudah berusia lebih 25 tahun dan perlu kerap dibawa menjalani pemeriksaan di pusat berkenaan bagi memastikan kenderaan selamat digunakan.

“Pemeriksaan di PUSPAKOM ketika ini mudah kerana pelbagai kemudahan disediakan agensi terbabit, termasuk menambah kakitangan selain urusan temujanji boleh dibuat melalui aplikasi.

“Setakat ini, pengusaha bas sekolah di seluruh negara berurusan terus dengan pusat itu, sekali gus mengelak menjadi mangsa orang tengah,” katanya sambil turut meminta PUSPAKOM memantau aktiviti wakil atau runner syarikat yang berurusan di pusat itu.

Katanya, mereka sepatutnya hanya mewakili satu syarikat, bukan lebih sehingga ada mewakili 10 syarikat.

“Kita dapat maklumat ada sesetengah (wakil) mewakili 10 syarikat ketika berurusan di PUSPAKOM menyebabkan berlaku kesesakan kenderaan dan menimbulkan rasa kurang selesa pemilik kenderaan lain,” katanya.

Berita Harian X