Isnin, 7 Oktober 2019 | 9:40pm

50,000 bas sekolah 'haram' beroperasi

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan van sekolah haram bukan perkara baharu dan walaupun isu itu sudah berulang kali didedahkan, bilangan pengusahanya dilaporkan semakin bertambah.

Pelbagai operasi serta gerakan pemutihan yang dilaksanakan pihak berkuasa berkaitan tetap gagal menyelesaikan isu itu, sekali gus menimbulkan persoalan kenapa khidmat van ‘sapu’ terus menjadi pilihan.

Mengikut maklumat Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM), ada lebih 50,000 van, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta beroperasi secara haram mengangkut murid serta kanak-kanak kelas prasekolah di seluruh negara.

Presidennya, Amali Munif Rahmat, ketika mendedahkan perkara itu kepada BH, mendakwa jumlah kenderaan ‘sapu’ yang memberi perkhidmatan berkenaan di seluruh negara semakin meningkat.

“Ia dapat dilihat apabila jumlah van dan bas sekolah berdaftar di Malaysia berkurangan daripada kira-kira 18,000 pada 2010 kepada hanya 16,000 sekarang, sedangkan setiap tahun kira-kira 8,000 lesen baharu dikeluarkan untuk bas dan van sekolah.

“Dianggarkan jumlah kereta, MPV dan van mengangkut murid sekolah, kanak-kanak TADIKA serta TASKA secara haram kini melebihi 50,000 di seluruh negara,” katanya yang menyifatkan isu itu umpama ‘bom jangka’ jika tidak ditangani segera.

Antara van persendirian yang dijadikan bas sekolah secara haram di sekitar Ampang, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Mengikut peraturan, bas dan van sekolah perlu berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), wajib menjalani pemeriksaan berkala dan mendapat kelulusan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sebelum dibenarkan beroperasi.

Setiap pemandu bas dan van sekolah juga perlu ada Lesen Memandu Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Yang membimbangkan ialah rata-rata kenderaan ‘sapu’ dikatakan tidak pernah menjalani pemeriksaan PUSPAKOM sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan seperti ditetapkan APAD bagi bas sekolah berlesen, manakala pemandunya pula dikhuatiri tiada PSV, tidak menjalani pemeriksaan kesihatan serta tidak dilindungi insurans.

Amali berkata, di kawasan Seri Gombak, ada kira-kira 40 bas dan van sekolah haram beroperasi, berbanding hanya empat bas sekolah berlesen.

“Jika mahu dinisbahkan, jumlah bas dan van sekolah berdaftar dengan yang beroperasi secara haram di seluruh negara adalah 1:10, iaitu satu berbanding 10. Kerisauan kita jika berlaku kejadian tidak diingini, penumpang pengangkutan haram tidak dilindungi insurans kemalangan jalan raya seperti bas dan van sekolah berdaftar,” katanya.

Tinjauan BH di sekolah sekitar Bangsar, Lembah Pantai dan Bangi, mendapati banyak kenderaan persendirian menyediakan khidmat terbabit, malah MPV ‘sapu’ juga semakin banyak digunakan dengan membawa sekurang-kurangnya 10 murid pada satu-satu masa.

Sesetengah pihak menyalahkan ibu bapa sebagai punca isu van sekolah haram tiada berkesudahan. Namun dakwaan bahawa ibu bapa berbuat demikian untuk mengelak bayaran tambang tinggi dikenakan pengusaha bas dan van sekolah berdaftar adalah tidak tepat.

Ini kerana, tinjauan dan maklumat diperoleh BH mendapati tambang dikenakan pengusaha berlesen dan pengusaha haram ke atas setiap murid lebih kurang sama iaitu antara RM50 hingga RM400 sebulan, bergantung kepada jarak dan kekerapan penggunaan.

Bagi ibu bapa, walaupun tahu risiko kenderaan ‘sapu’ tiada perlindungan insurans kemalangan, mereka tiada pilihan kerana bilangan bas atau van sekolah berdaftar sangat terhad.

Seorang bapa, Azman Ibrahim yang ditemui BH di Bangi, berkata beliau dan isteri terpaksa menggunakan khidmat van tidak berlesen untuk mengambil dan menghantar dua anak mereka ke sekolah kerana tiada pilihan.

“Jumlah bas atau van sekolah yang masuk ke kawasan perumahan kami amat terhad dan tidak mampu menampung jumlah pelajar yang ramai di sekitar Bangi ini. Jadi, mahu atau tidak, terpaksalah kami guna khidmat van tidak berdaftar.

“Saya percaya masalah sama juga dihadapi ibu bapa lain di kawasan tertentu,” katanya sambil menambah beliau yakin dengan keselamatan dua anaknya kerana van yang digunakan masih baharu selain mengenali pemandunya.

Jawapan sama diberikan ibu kepada seorang murid Tahun 5 sebuah sekolah di Bangsar yang menggunakan van tidak berdaftar untuk mengambil dan menghantar anaknya ke sekolah sejak dua tahun lalu.

Antara van persendirian yang dijadikan bas sekolah secara haram di sekitar Ampang, Kuala Lumpur. - NSTP/Saifullizan Tamadi

‘Permudah syarat mohon permit’

Pemilik kenderaan persendirian yang menyediakan khidmat mengangkut murid ke sekolah secara haram, berharap kerajaan mempermudahkan syarat permohonan permit dan proses mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) supaya mereka dapat beroperasi secara sah.

Mereka mendakwa rata-rata pemilik kenderaan persendirian yang menawarkan khidmat pengangkutan terbabit bukan tidak mahu memohon permit, tetapi berdepan pelbagai kekangan, terutama kos yang tinggi.

Seorang pengusaha perkhidmatan itu di Bangi berkata, kos untuk mengecat kenderaan terbabit dengan warna kuning sebagai van sekolah memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 atau boleh mencecah RM4,000, bergantung pada kualiti dan daya tahan cat.

“Selain itu, perlu bayar premium insurans antara RM1,000 hingga RM2,000 setahun sebagai van sekolah. Kos untuk menukar cat dan penyelenggaraan kenderaan sudah terlalu tinggi, ditambah pula dengan kos bayaran perlindungan insurans dan cukai jalan lagi,” katanya.

Beliau yang enggan namanya disiarkan, mengakui memiliki sebuah bas dan dua van sekolah dengan permit Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tetapi pada masa sama juga mempunyai dua van sekolah ‘sapu’.

Antara van persendirian yang dijadikan bas sekolah secara haram di sekitar Ampang, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

“Saya terpaksa guna dua van tanpa permit untuk mengangkut murid sekolah kerana permintaan tinggi daripada ibu bapa,” katanya yang mengenakan tambang antara RM70 sehingga RM140 sebulan untuk perkhidmatan berkenaan.

Bagi meringankan beban pengusaha bas dan van sekolah, beliau berharap kerajaan menghidupkan semula skim bantuan insurans khas untuk mereka seperti dilaksanakan sebelum ini.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM), Amali Munif, berkata antara alasan pengusaha bas, van sekolah haram adalah tiada masa mengikuti kursus selama enam jam serta ujian bagi mendapatkan Lesen Memandu Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), selain kekangan kos untuk mengecat kenderaan kepada warna kuning.

Beliau berharap kerajaan mempermudahkan syarat kelulusan PSV dan permit bas serta van sekolah seperti kelonggaran diberikan kepada pemandu perkhidmatan e-hailing, sekali gus dapat mengatasi isu bas dan van sekolah haram menerusi penyelesaian ‘menang-menang’.

“PPPBSM sedia berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan bagi menyelesaikan masalah ini yang sudah berlarutan sekian lama,” katanya turut menyarankan kerajaan mewujudkan skim pinjaman mudah bersama kadar faedah rendah untuk pengusaha bas dan van sekolah.

Tinjauan bas sekolah haram di sekitar Kuala Lumpur. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Katanya, skim pinjaman berkenaan bagi membantu pengusaha menukar bas dan van sekolah berusia lebih 20 tahun yang dianggarkan kini lebih 50 peratus daripada 16,000 kenderaan berdaftar yang menawarkan perkhidmatan berkenaan di seluruh negara.

Dalam perkembangan sama, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra (SMKBSP) di Kajang, Zulhizzam Hamsa, bersetuju kerajaan memudahkan syarat kelulusan permit bas dan van sekolah serta PSV untuk pemandunya.

Kerajaan juga, katanya, wajar mempertimbangkan subsidi tertentu bagi membolehkan pemilik bas, van atau kereta yang menawarkan khidmat mengangkut murid secara haram, mengubah suai dan menukar status kenderaan mereka kepada pengangkutan murid sekolah.

“Ini kerana urusan itu memerlukan modal agak besar. Kerajaan perlu melihat isu ini sebagai kritikal dan menanganinya segera kerana ia keperluan ibu bapa sekarang yang kebanyakannya bekerja dan perlu khidmat pengangkutan untuk anak mereka ke sekolah.

“Jika kenderaan persendirian yang beroperasi secara haram ‘diputihkan’ dengan kelulusan APAD serta JPJ, pemilik perlu memastikan tahap keselamatan murid sentiasa terjamin, pemandu perlu mempunyai PSV serta penumpang dilindungi insurans,” katanya.

Zulhizzam juga berharap kerajaan memperkenalkan semula Skim Perlindungan Insurans Murid-Murid Sekolah seperti dilaksanakan mulai 2013 sebelum dihentikan supaya murid menerima pampasan jika terbabit kemalangan.

Berita Harian X