Ahad, 6 Oktober 2019 | 10:23pm
DPVM berharap akta bakal diperkenalkan kerajaan tidak lama lagi membenarkan peniaga tempatan terus menjual vape nikotin secara terkawal. - Foto hiasan

DPVM sokong kerajaan gubal akta kawal penjualan vape

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) berharap akta bakal diperkenalkan kerajaan tidak lama lagi membenarkan peniaga tempatan terus menjual vape nikotin secara terkawal.

Presidennya, Syed Azaudin Syed Ahmad, berkata pihak industri menyokong kawal selia ke atas industri vape diperkenalkan secepat mungkin, namun memohon supaya peraturan mengambil kira hala tuju dan perkembangan industri ini, terutama dari segi penggunaan cecair vape nikotin.

“Di negara seperti United Kingdom (UK), Kanada, New Zealand dan negara jiran di ASEAN seperti Filipina dan Indonesia, penjualan dan penggunaan cecair vape yang mengandungi nikotin dibenarkan sebagai produk pengguna terkawal dan jumlah nikotin dalam cecair vape tidak melebihi had yang ditentukan.

“Oleh itu, pihak industri memohon supaya kerajaan memperkenalkan peraturan untuk membolehkan penjualan nikotin dalam cecair vape tidak melebihi lima peratus daripada jumlah cecair dan dijual sebagai produk pengguna terkawal, konsisten dengan negara lain yang turut memperkenalkan peraturan mengawal selia industri vape,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengesahkan kementeriannya akan membentangkan akta baharu berkaitan penggunaan tembakau, vape, rokok elektronik dan shisha di Parlimen selewat-lewatnya pada persidangan sesi Mac depan.

Malah, Dr Dzulkefly dipetik sebagai berkata kementeriannya ketika ini pada fasa akhir penelitian untuk menggubal akta berkenaan yang disifatkan lebih menyeluruh dan dapat menangani pelbagai isu terkini.

Dalam pada itu, Syed Azaudin berkata, Kementerian Kesihatan perlu bersikap adil dan lebih objektif berhubung insiden kematian akibat penggunaan vape di Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

“Pihak industri turut kesal dengan insiden yang berlaku di AS baru-baru ini. Siasatan pihak berkuasa AS, Centers for Disease Control and Prevention, menunjukkan kebanyakan kes yang berlaku berpunca dari penyalahgunaan produk vape membabitkan tetrahydrocannabinol (THC) yang terdapat di dalam dadah jenis marijuana.

“Kami memohon supaya semua pihak terutama Kementerian Kesihatan untuk berpandangan objektif dan mengambil kira hasil siasatan ini.

“Insiden ini berlaku kerana penyalahgunaan vape dan bukannya seperti yang dikatakan pelbagai pihak yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan dan menakutkan masyarakat mengenai bahaya vape nikotin,” katanya.

Mengulas cadangan sesetengah pihak untuk kerajaan melarang penjualan dan penggunaan vape nikotin di Malaysia, Syed Azaudin berkata, industri domestik semakin berkembang sejajar perkembangan pesat industri vape di tahap global, sekali gus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan di negara ini.

Katanya, ia juga menarik pelabur tempatan dan asing serta menyumbang jutaan ringgit kepada ekonomi negara selain daripada mengurangkan perokok.

“Sekiranya kerajaan melarang penjualan dan penggunaan vape, ini akan memberikan impak negatif kepada ekonomi dan memberikan mesej bahawa kerajaan menyokong industri rokok walaupun terbukti rokok yang mengandungi nikotin lebih berbahaya berbanding vape nikotin,” katanya.

Berita Harian X