Ahad, 6 Oktober 2019 | 3:46pm
Tunku Azizah tidak dapat menahan sebak ketika mengimbau keperitan dilalui dalam usaha mendapatkan zuriat. - NSTP/Rosela Ismail

Permaisuri Agong kongsi perasaan mahu dapat zuriat

SERI KEMBANGAN: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tidak dapat menahan sebak ketika mengimbau keperitan dilalui dalam usaha mendapatkan zuriat.

Tunku Azizah bertitah walaupun enam kali keguguran dalam tempoh hampir sedekad, semua itu tidak menghalang baginda daripada berputus asa atau berhenti untuk berusaha memiliki waris sendiri.

“Selama sembilan tahun setengah saya mencuba mendapatkan anak, menjalani 16 kali rawatan di Singapura, England dan Amerika Syarikat, Tuanku (Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) sentiasa berada bersama saya memberi sokongan dan semangat.

“Tanyalah Tuanku berapa kali saya menangis dan macam-macam yang perlu dilalui untuk mendapatkan anak tetapi Tuanku tetap bersabar,” titah baginda pada sambutan Hari Keluarga 2019 Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF), di sini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan menghadiri sambutan sempena ulang tahun ke-15 yayasan berkenaan.


Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah memotong kek ulang tahun TAFF yang ke-15. - NSTP/Rosela Ismail

Turut mengiringi baginda berdua ialah puteri bongsu, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Al-Sultan Abdullah.

Tunku Azizah yang juga pengasas dan presiden seumur hidup TAFF bertitah bukan mudah bagi wanita yang diduga untuk mendapatkan zuriat terutama ketika menjalani rawatan persenyawaan tabung uji (IVF).

Titah baginda, pengalaman sukar yang dilalui itu memberi idea kepada baginda untuk menubuhkan TAFF terutama bagi membantu mereka yang memerlukan sokongan kewangan.

Dalam majlis itu, Yang di-Pertuan Agong turut mengurniakan surat tawaran penajaan kepada 60 pasangan bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan IVF di sembilan pusat perubatan di seluruh negara.

Pengurniaan itu juga adalah sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-60 baru-baru ini.

Pada majlis yang sama Tunku Azizah turut mengurniakan loket kepada empat anak yang juga dua pasangan kembar dilahirkan hasil bantuan TAFF.

Pengurniaan loket berkenaan adalah sebagai identiti kepada anak yang dilahirkan menerusi bantuan TAFF.

Sejak ditubuhkan pada Ogos 2004, TAFF membantu pembiayaan IVF kepada 94 pasangan yang melahirkan 116 anak melalui rawatan itu.

Berita Harian X