Sabtu, 5 Oktober 2019 | 11:44am
Ketua Pegawai Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman pada Bicara Belanjawan 2020 anjuran Berita Harian. - Foto Zunnur Al Shafiq

Syor guna indikator baharu ukur dasar

KUALA LUMPUR: Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 yang dilancarkan hari ini, disyorkan tidak menggunakan petunjuk sama seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam mengukur perkembangan ekonomi Bumiputera.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman, berkata indikator seperti 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera yang menjadi antara sasaran DEB, tidak menggambarkan kejayaan kaum itu secara keseluruhan.

Sebaliknya, beliau berkata, kayu ukur pembangunan ekonomi Bumiputera dalam Wawasan Kemakmuran Bersama perlu benar-benar mampu mengukur kejayaan kaum itu, seperti pendapatan isi rumah dan kemampuan kewangan.

“Antara masalah DEB ialah sasarannya salah, seperti 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera. Mana mungkin penguasaan dalam pasaran saham oleh segelintir kumpulan Bumiputera menggambarkan majoriti kaum ini mendapat hasilnya.

“Kerajaan perlu menggunakan indikator baharu seperti melihat pada pendapatan isi rumah dan kewangan bagi mengukur tahap sebenar ekonomi Bumiputera.

“Indikator baharu ini perlu menggambarkan hasil kemakmuran yang dikongsi pada semua, bukan terhad pada kumpulan tertentu saja, sama ada bagi Bumiputera atau bukan Bumiputera,” katanya.

Isu kesenjangan pendapatan dan ekonomi Bumiputera dengan golongan bukan Bumiputera yang semakin melebar dijangka antara isu yang akan disentuh dalam Wawasan Kemakmuran Bersama.

Ia berikutan beberapa dasar sebelum ini seperti DEB, dilihat gagal melimpahkan pelbagai bantuan yang disediakan kepada Bumiputera selama ini, kepada majoriti kaum itu, sebaliknya hanya segelintir kumpulan yang disebut sebagai elit Bumiputera, menikmati hasilnya.

Ahmad Yazid berkata, pelaksanaan inisiatif dalam Wawasan Kemakmuran Bersama yang menumpukan kepada golongan Bumiputera, perlu dilakukan secara telus bagi mengelakkan ketirisan, yang turut menyumbang pada kegagalan DEB, berulang.

“Wawasan Kemakmuran Bersama perlu atasi gejala ali baba, rasuah dan ketirisan, selain membantu Bumiputera membina rantaian bekalan untuk membolehkan kaum itu menguasai ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan, berkata Wawasan Kemakmuran Bersama diharap mengubah nasib kontraktor Bumiputera, khususnya membolehkan mereka berdiri di atas kaki sendiri.

Katanya, ketika ini, majoriti kontraktor Bumiputera masih perlu bergantung pada kontrak kerajaan atau terpaksa membuat kerja sampingan lain bagi menampung pendapatan.

“Ketika ini, kontraktor bukan lagi pekerjaan yang menjanjikan kekayaan. Saya harap ada inisiatif khusus bagi membantu lebih 20,000 kontraktor Bumiputera yang kini semakin sukar mendapat pekerjaan,” katanya.

Berita Harian X