Jumaat, 4 Oktober 2019 | 8:41pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga dari kiri) diiringi Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Abdul Halim Jalal (empat dari kiri) merasmikan Food Bank Satria Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). - Foto Saifullizan Tamadi

Grab masih boleh merayu denda RM86.7 juta

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan pengangkutan e-hailing, Grab masih boleh ‘berunding’ dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berhubung cadangan denda RM86.7 juta terhadapnya kerana amalan menindas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ini kerana cadangan denda RM86.7 juta berkenaan belum lagi dimuktamadkan.

Berikutan itu, pengurusan GRAB perlu mengemukakan hujah bagi membela diri mereka di hadapan panel MyCC dalam masa terdekat.

“Menjadi monopoli bukan buruk kerana ia adalah hasil menjadi dominan dalam sesuatu perniagaan bukan suatu buruk.

”Tetapi menjadi monopoli dan menindas atau mengambil kesempatan adalah tidak dibenarkan sebab itulah kerajaan mewujudkan Akta Persaingan 2010 diwujudkan bagi melindungi rakyat.

“Itu namanya syor atau cadangan hukuman tetapi pihak terbabit masih boleh mengemukakan hujah pembelaan kepada panel MyCC untuk dipertimbangkan semula hukuman denda berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Food Bank di Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM) sebentar tadi.

Saifuddin berkata demikian ketika mengulas isu MyCC mencadangkan Grab didenda RM86,772,943.76 kerana amalan menindas.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail dilaporkan berkata, Grab turut dikenakan denda kewangan harian RM15,000 bermula hari ini, sekiranya syarikat itu gagal mengambil tindakan pembetulan seperti diarahkan MyCC bagi menangani isu persaingan berkaitan.

Grab didapati melanggar Seksyen 10 Akta Persaingan 2010 (AP 2010) secara kolektif berikutan syarikat itu didapati menyalahgunakan kedudukan dominannya melalui pengenaan beberapa klausa yang membataskan pemandunya.

MyCC juga menegaskan, Grab didapati membataskan pemandunya daripada mempromosikan dan menyediakan perkhidmatan pengiklanan kepada pesaing Grab dalam perkhidmatan e-hailing dan pasaran pengiklanan media transit.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, ini adalah bukan kali pertama MyCC mengumumkan denda yang tinggi, malah Penerbangan Malaysia (MAS) dan Kumpulan AirAsia serta MyEG dan Persatuan Pekebun Bunga Cameron Highlands pernah mengalami nasib sama kerana melanggar undang-undang berkaitan.

Dalam pada itu Saifuddin mengesahkan beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia serta Menteri Belia dan Sukan dalam terdekat bagi menyelesaikan isu penghantar Makanan Foodpanda.

Beliau berkata langkah itu selari dengan keputusan Kabinet yang menubuhkan sebuah jawatankuasa yang akan dianggotai oleh tiga kementerian berkenaan untuk mengkaji lebih mendalam mengenai perkara itu.

Berita Harian X