Khamis, 3 Oktober 2019 | 12:14pm
Petugas penguat kuasa menggunakan jentera bagi memusnahkan kebun haram di kawasan lembah yang tidak dapat dimasuki jentera di Bukit Beruntung semalam. - NSTP/Ismail Mat
Petugas penguat kuasa menggunakan jentera bagi memusnahkan kebun haram di kawasan lembah yang tidak dapat dimasuki jentera di Bukit Beruntung semalam. - NSTP/Ismail Mat
Petugas penguat kuasa menggunakan jentera bagi memusnahkan kebun haram di kawasan lembah yang tidak dapat dimasuki jentera di Bukit Beruntung semalam. - NSTP/Ismail Mat
Pegawai dari Pejabat Daerah, Tanah Hulu Selangor dan TNB melancarkan operasi memusnahkan semua kebun sayur yang diusahakan secara haram oleh warga asing atas tanah kerajaan di Bukit Beruntung. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Selangor disaran agih bekas kebun sayur kepada asnaf

BUKIT BERUNTUNG: Kerajaan Selangor disaran mengagihkan bekas kebun sayur yang diusahakan secara haram oleh warga asing di atas tanah kerajaan di sini, kepada golongan asnaf setempat untuk terus diusahakan sebagai kawasan pertanian sara diri.

Setiausaha Pertubuhan Sahabat Hulu Selangor, Ramlee Mohd Nasir, berkata langkah itu disifatkan pendekatan terbaik berbanding membiarkan kawasan berkenaan daripada kembali menjadi semak-samun selepas ia dirampas daripada penceroboh.

Beliau berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bagi mengenal pasti keluarga asnaf yang mahu berkebun di kawasan berkenaan.

“Sebagai sebuah NGO setempat, kami menghargai langkah pihak berkuasa kerana melancarkan operasi bersepadu membanteras pendatang asing yang mengusahakan kebun sayur komersial secara haram di atas tanah kerajaan dan persendirian di sini sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Setiausaha Pertubuhan Sahabat Hulu Selangor, Ramlee Mohd Nasir. - NSTP/Owee Ah Chun

“Langkah yang diambil ini membersihkan warga asing tanpa izin daripada terus bermaharajalela dengan menjadikan tanah kerajaan di situ sebagai hak milik mereka. Kawasan tanah di sini adalah milik kerajaan dan persendirian.

“Mana-mana pihak yang mahu mengusahakan kebun sayur di sini, sewajarnya mematuhi peraturan dan bukannya secara menceroboh,” katanya kepada BH di sini, semalam.

Berita Harian (BH) Ahad pada 8 September lalu, secara eksklusif membongkar kegiatan warga asing yang menceroboh tanah kerajaan dan persendirian seluas kira-kira 60 hektar di situ yang sebahagian besarnya terletak di bawah kabel voltan tinggi sebagai kebun sayur komersial secara haram sejak 10 tahun lalu.

Kedegilan warga asing yang dinaungi individu kenamaan tertentu itu, terserlah apabila mereka mengabaikan notis pengosongan kawasan berkenaan yang dikeluarkan oleh PDT Hulu Selangor.

Kehadiran warga asing menceroboh tanah kerajaan di situ bermula apabila mereka diupah pihak tertentu bagi mengusahakan tanah yang diluluskan secara TOL di situ, sebelum pendatang terbabit membawa masuk adik beradik dan warga asing lain bersama-sama menceroboh tanah kerajaan serta persendirian di situ.

Sepanjang pencerobohan tanah, mereka mengusahakan kawasan terbabit dengan sayur-sayuran berdaun dan buah seperti sawi, bayam, kangkung, terung dan peria. Semua hasil kebun dihantar setiap hari kepada pemborong di Pasar Borong Selayang untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Susulan pendedahan bersiri itu, pada 22 September lalu, Jabatan Imigresen Selangor melancarkan operasi terhadap kawasan berkenaan dan menahan 26 warga asing yang mengerjakan kebun sayur secara haram di atas tanah kerajaan dan persendirian di situ.

Semalam dan hari ini, PDT Hulu Selangor melancarkan operasi bersepadu memusnahkan struktur binaan serta kebun sayur yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan di situ.

Tinjauan wartawan ketika operasi mendapati, anggota penguat kuasa terpaksa menggunakan paras untuk menebas sebahagian kebun sayur yang tidak boleh dimasuki jentera berat kerana dikhuatiri terlekat pada tanah yang berselut.

Selain memusnahkan sayur-sayuran ditanam, anggota penguat kuasa turut memusnahkan kelengkapan yang digunakan bagi tujuan pengairan kebun terbabit selama ini, selain menyita pelbagai jentera yang masih boleh digunakan tetapi ditinggalkan di sekitar kawasan kebun yang diceroboh itu.

Tinjauan mendapati, kelengkapan yang dimusnahkan sekitar kebun terbabit menunjukkan pihak mendalangi pencerobohan tanah di situ mengeluarkan modal besar bagi mengusahakan kawasan sayur komersial berkenaan.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Musa Ranli, berkata daripada 12 hektar tanah kerajaan yang diceroboh di situ, hanya seluas 1.75 ekar (0.7 hektar) sudah dikeluarkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) untuk diusahakan sebagai kebun sayur secara sah.

Ramlee berkata, sewajarnya selepas tanah itu dirampas kerajaan, diberikan secara TOL kepada penduduk tempatan atau keluarga asnaf yang memerlukan kawasan untuk bercucuk tanam.

Beliau berkata, langkah itu secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan pendapatan keluarga penduduk miskin dan asnaf, seterusnya menjayakan hasrat kerajaan membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat.

“Sewajarnya, setiap tanah yang diberikan TOL, dipasangkan papan maklumat mengenai pemilikan dan keluasan kawasan diluluskan kepada mereka bagi mengelak pihak berkenaan menceroboh tanah lain, selain mudah diketahui oleh orang awam mengenai status sesuatu kawasan,” katanya.

Berita Harian X