Rabu, 2 Oktober 2019 | 3:52pm
Keratan akhbar BH semalam.

Kementerian digesa turun padang

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan digesa turun padang melihat sendiri kesesakan di kaunter pendaftaran dan rungutan pesakit terpaksa menunggu lama di semua hospital awam sebagai langkah drastik bagi mengurangkan masalah itu secepat mungkin.

Bekas kakitangan Bahagian Pendaftaran Hospital Serdang, Muhammad (bukan nama sebenar), berkata berdasarkan pengalaman bekerja di situ, mendapati purata pesakit terpaksa masa menunggu antara 30 minit sehingga tiga jam untuk mengambil nombor giliran berjumpa doktor di kaunter pendaftaran.

“Nisbah seorang kakitangan bahagian kaunter pendaftaran Hospital Serdang adalah antara 500 hingga 800 orang,” katanya.

Beliau mengulas laporan BH, semalam mengenai masa menunggu lama untuk pendaftaran dan kesesakan parkir di Hospital Selayang dan Hospital Serdang sehingga ada pesakit terpaksa keluar seawal jam 5.30 pagi bagi mengelak masalah terbabit.

Secara purata, pesakit perlu menghabiskan masa setengah hari atau lebih untuk berjumpa doktor, bagi rawatan susulan tidak termasuk menjalani pemeriksaan dan mengambil ubat.

Katanya, kakitangan terutama doktor dan perkhidmatan kaunter perlu ditambah bagi mengatasi masalah menunggu lama untuk rawatan seterusnya.

Sementara itu, jurutera, Muhammad Zahiruddin, berkata sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan sistem pendaftaran pesakit layan diri bagi menambah baik perkhidmatan di hospital awam.

Katanya, pada masa sama, kajian perlu dilakukan dengan mengambil kira kesannya kepada pesakit yang dijangka akan menunggu lebih lama menunggu mendapatkan rawatan doktor.

“Mungkin kementerian memerlukan khidmat pakar proses dalam mengurangkan masa menunggu di hospital,” katanya menerusi komen dalam laman Facebook BH berkaitannya.

Netizen di laman sama, Zarinaziz El nur pula menyatakan kekeliruan dan tidak faham kaedah diguna pakai ketika pendaftaran di hospital awam, terutama di Hospital Selayang.

“Mula-mula kena mendaftar di kaunter A, kemudian kena daftar pula ke klinik pakar. Keadaan itu memberikan tekanan.

“Pihak hospital sepatutnya perlu menangani isu ini dengan mendaftar terus ke kaunter klinik pakar. Kami berharap sangat ada perubahan selepas ini,” luahnya.

Maslina Saberil mencadangkan pembayaran bagi rawatan itu boleh di buat di kaunter kecil di klinik kerajaan atau panel.

“Yang penting, ada jaringan di semua institusi terbabit. Kaedah ini membolehkan pesakit mengambil ubat di mana-mana farmasi berdaftar atau dihantar terus ke rumah.

“Perkhidmatan menghantar ubat ke rumah ini mungkin sudah ada, tetapi boleh ditingkatkan lagi,” kata meninggalkan komen di laman Facebook BH.

Pengguna parkir terpaksa menolak kenderaan lain sebelum keretanya boleh dikeluarkan dari ruang parkir di Kompleks Pakar dan Rawatan Harian HKL akibat kesesakan. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Doktor kerap berkursus pesakit terbeban

“Pesakit ramai tetapi kalau nasib tidak baik, doktor yang sepatutnya kita jumpa, tiada pula kerana pergi seminar dan kursus menyebabkan terpaksa menunggu lama lagi lama untuk dirujuk pada doktor lain,” kata waris yang membawa bapanya untuk rawatan susulan di klinik Pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Norhayati Abu Salim, 46, berkata penantian untuk bertemu doktor pakar biasanya memakan masa satu hingga dua jam.

“Kalau doktor yang sepatutnya ditemui tiada, pesakit terpaksa menunggu lebih lama. Doktor di sini kerap menjalani kursus atau seminar,” katanya.

Beliau yang membawa bapanya yang berusia 75 tahun, berkata sesuatu harus dilakukan bagi mengelakkan doktor kerap meninggalkan klinik semata-mata untuk pergi berkursus.

Ini menyebabkan doktor lain terbeban dengan pesakit yang terlalu ramai sehingga menjejaskan kualiti pemeriksaan ke atas pesakit.

“Perkara lain yang perlu diambil kira adalah kebanyakan pesakit yang datang ke klinik pakar adalah warga emas yang pergerakan mereka terhad.

“Mereka yang rata-ratanya berusia lebih 60 tahun, tidak boleh bergerak cepat apabila dipanggil ke bilik doktor, malah tidak boleh duduk atau berdiri terlalu lama kerana cepat letih selepas seharian berada di hospital,” katanya.

Tinjauan di parkir Kompleks Pakar dan Rawatan Harian HKL pula, mendapati keadaan sesak dengan kenderaan yang diletakkan secara berlapis sehingga memaksa pesakit menolak kereta untuk keluar daripada kotak parkir.

Pekerja swasta, Norhashimah Mat Tahar, 44, yang ditemui di Zon Hijau, berkata beliau menunggu setengah jam selepas mendaftar di unit kecemasan sebelum dirujuk ke zon berkenaan selepas seminggu mengalami sakit dada.

“Saya mendaftar jam 8 pagi dan selepas sejam, masih belum dapat berjumpa doktor lagi. Walaupun bilik doktor ada enam, masa menunggu kebiasaannya satu jam. Waktu menunggu untuk ubat tidak lama dalam setengah jam sahaja,” katanya.

“Walaupun zon ini dikhaskan untuk pesakit kecemasan, pada hari biasa masih ramai mendapatkan rawatan menyebabkan ruang di sini sesak,” katanya.

Berita Harian X