Ahad, 22 September 2019 | 5:47pm

Surat terbuka NUJ Utusan untuk PM

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) Cawangan Utusan Melayu (M) Bhd, hari ini menulis surat terbuka kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyatakan isi hati mereka terhadap suasana yang melanda akhbar Utusan Melayu.

Antara lain surat berkenaan menyatakan terima kasih kerana keprihatinan Perdana Menteri dan sebahagian pemimpin lain dalam kerajaan terhadap masalah yang melanda akhbar itu sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan memastikan operasi syarikat terbabit diteruskan.

Bagaimanapun, NUJ Cawangan Utusan Melayu turut melahirkan kekecewaan apabila akhbar itu sejak melaksanakan skim Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dilihat semakin parah sehingga pembayaran gaji kakitangan turut lewat selama dua bulan.

“Bulan Jun hingga terkini 2019 keadaan kakitangan semakin perit, untuk pengetahuan YAB Tun (Dr Mahathir), cerita anak kakitangan terpaksa minum sirap, kopi o dan teh o untuk ganti susu bayi adalah benar dan ia bukan rekaan semata-mata mahu mensensasikan cerita.

“Malah lebih parah lagi ada dalam kalangan kami yang bergadai barang kemas bagi menampung kelangsungan hidup. Gerakan piket kakitangan pada 19 Ogos 2019 terpaksa dilakukan,” tulis surat berkenaan sambil menambah masalah syarikat itu sebenarnya tidak selesai walaupun kakitangan pernah dijanjikan untuk menerima baki gaji sebanyak RM2,000 bagi dua bulan tertunggak.

Kesatuan itu turut mendakwa, selain gaji masih lewat sehingga tiga bulan, Perjanjian Bersama (CA) membabitkan manfaat pekerja yang dimeterai antara syarikat dan pihak kesatuan dimungkiri, selain berlaku pelanggaran baharu dan amalan yang diguna pakai sebelum ini dinafikan syarikat.

“Keadaan sama dihadapi rakan yang mengambil VSS (Skim Pemisahan Sukarela) walaupun tawaran diberikan dengan pembayaran 12 kali, mereka tetap tabah mengambilnya dengan hati yang sayu untuk berkorban demi kesinambungan operasi penerbitan akhbar agama, bangsa dan negara ini.

“Kini bayaran berkenaan tertunggak dua bulan juga. Situasi sukar ini dijangka berlarutan sehingga pertengahan 2020,” tulis surat berkenaan.

Kesatuan itu turut memohon Dr Mahathir membantu kakitangan bawahan dan syarikat berkenaan dalam mengharungi keadaan sukar ketika ini.

Sementara itu, Pengerusi NUJ Cawangan Utusan Melayu, Mohd Taufek Razak mengesahkan surat itu adalah daripada kesatuan berkenaan.

Berita Harian X