Ahad, 22 September 2019 | 2:04pm

Kerajaan Negeri Sembilan mohon wujudkan zon bebas cukai di MVV 2.0

SEREMBAN: Kerajaan negeri meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan kawasan zon bebas cukai di Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata zon bebas cukai di kawasan itu diyakini mampu meningkatkan dan mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kita mohon kalau boleh adakan sebuah zon bebas cukai di MVV 2.0. Ini harus dibincangkan bersama Kerajaan Persekutuan.

“Ia pastinya mampu memesatkan lagi pembangunan di Negeri Sembilan kerana kita lihat negeri ini setaraf dengan Melaka.

“Justeru, kehadiran MVV ini dengan adanya kawasan bebas cukai, kita yakin bahawa ia akan meningkatkan lagi ekonomi di negeri ini. Kita harap perkara ini dapat dipertimbangkan oleh Menteri Kewangan (Lim Guan Eng),” katanya berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Ke-20, di sini, hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP serta Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, turut hadir.

Sementara itu, Guan Eng pada ucapannya menyambut baik cadangan Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan dan berkata Kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkan cadangan berkenaan.

“Cadangan kawasan bebas cukai ini kita akan pertimbangkan dengan serius.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri perlu menghantar surat (kepada Kerajaan Persekutuan) supaya permohonan ini dibuat secara rasmi,” katanya.

MENTERI Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun beramah mesra bersama Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Menteri Pengangkutan merangkap Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Ke-20 di Klana Resort Seremban, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Berita Harian X