Sabtu, 21 September 2019 | 10:51pm
Jarak penglihatan Menara Berkembar Petronas (KLCC) terjejas akibat berjerebu dengan IPU mencatatkan bacaan 156 iaitu tidak sihat ketika gambar ini dirakam pada jam 5 petang tadi. - Foto BERNAMA
Tinjauan keadaan jerebu di Pulau Pinang. IPU pada jam 8 pagi di kawasan Balik Pulau (80), Minden (77), Seberang Jaya (73) dan Seberang Perai (68). - NSTP/Ramdzan Masiam
Pemandangan udara menunjukkan projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) giat dijalankan walaupun cuaca di sekitar ibu kota mencatatkan bacaan IPU 151 iaitu 'tidak sihat' pada jam 3 petang ini ketika tinjauan di Lebuh Raya Cheras-Kajang hari ini. - Foto BERNAMA

Jerebu: 8 tempat tidak sihat (sehingga 9 malam)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 tempat di lapan negeri, termasuk di ibu negara masih mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap tidak sihat akibat jerebu, malam ini.

Sehingga jam 9 malam tadi, dua lokasi di Pulau Pinang dan Perak kembali mencatatkan bacaan IPU tidak sihat selepas berada pada tahap sederhana pada jam 3 petang tadi.

Dua lokasi itu, iaitu di Balik Pulau, Pulau Pinang mencatatkan bacaan IPU 108 pada jam 9 malam tadi, berbanding 92 pada jam 3 petang. Begitu juga di Tanjung Malim, Perak yang merekodkan bacaan IPU 105, berbanding 84 petang tadi.

Bacaan IPU di sekitar ibu negara sehingga jam 9 malam tadi juga masih berada tidak sihat dengan Batu Muda dan Cheras masing-masing mencatatkan bacaan 162 dan 152, manakala Putrajaya pula merekodkan bacaan IPU sebanyak 137.

Di Selangor, enam lokasi turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat membabitkan Kuala Selangor (114); Petaling Jaya (146), Shah Alam (134), Banting (115) Johan Setia Klang (164) dan Klang (121), manakala di Kuala Selangor mencatatkan IPU sederhana, iaitu 96.

Sementara itu, dua tempat di Negeri Sembilan juga mencatat IPU tidak sihat sehingga jam 9 malam tadi, iaitu di Nilai (140) dan Seremban (127).

Begitu juga di Johor, satu lokasi masih merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu di Segamat (129).

Keadaan jerebu di Sarawak bagaimanapun dilihat semakin baik apabila hanya empat lokasi mencatatkan IPU tidak sihat berbanding lima lokasi pada jam 3 petang tadi, iaitu di Sri Aman (126); Sarikei (106); Samarahan (134) dan Kuching (152).

Keadaan jerebu di baki lapan lagi lokasi di Sarawak pula semakin baik apabila semua kawasan itu merekodkan bacaan sederhana iaitu di Limbang (69); ILP Miri (95); Miri (96); Samalaju (93); Bintulu (94); Mukah (95) dan Kapit (61).

Berita Harian X