Sabtu, 21 September 2019 | 8:00pm
Warga Bangladesh masih mengusahakan pertanian di tanah diceroboh, di Bukit Beruntung, Hulu Selangor. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Sambung bekalan air, elektrik secara haram

HULU SELANGOR: Bukan sahaja menceroboh tanah kerajaan dan individu di Bukit Beruntung, warga asing juga dikesan melakukan penyambungan haram bekalan air dan elektrik dari rumah untuk kegunaan komersial di kebun.

Ia dikesan wartawan BH yang pada mulanya bertujuan meninjau penguatkuasaan di kawasan pertanian komersial seluas kira-kira 60 hektar berdekatan plaza tol Lebuhraya Utara Selatan bandar ini selepas pencerobohan itu didedahkan BH Ahad, pada 8 September lalu.

Selain melihat masih ada kerja-kerja pertanian di tanah diceroboh, termasuk di tapak sudah dipasang notis pengosongan daripada Pentadbir Tanah Hulu Selangor bertarikh 29 Julai lalu, wartawan BH juga mendapat maklumat daripada orang awam mengenai penyambungan haram dilakukan warga asing itu.

Selepas meninjau keadaan di kawasan pertanian komersial itu, wartawan dan jurugambar BH bergegas ke pangsapuri terletak berhampiran yang dikatakan ‘menjadi pembekal’ air dan elektrik ke rumah kongsi di kebun diusahakan warga Bangladesh berkenaan.

Kami melihat ada paip disambung dari sebuah rumah di tingkat tiga pangsapuri itu ke kawasan semak-samun yang berpagar.

Penyambungan itu dikesan berakhir di rumah kongsi terletak di kebun sayur yang diceroboh warga asing dan difahamkan mereka menggunakan air serta elektrik untuk kegiatan seharian, antaranya untuk mencuci sayur-sayuran sebelum dihantar ke pasar borong.

Seorang penduduk di pangsapuri itu yang enggan dikenali berkata dia pernah mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa mengenai penyambungan haram air dari sebuah rumah didiami warga Bangladesh ke kebun berkenaan.

“Kami diberitahu ia tidak menjadi kesalahan kerana dipasang selepas alat meter bermaksud ia turut membayar bil. Bagaimanapun yang menjadi persoalan adalah berkaitan tarif. Mereka menggunakannya untuk komersial tetapi bayar harga domestik.


Penyambungan air secara haram dilakukan di pangsapuri berhampiran oleh warga Bangladesh di Bukit Beruntung. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

“Hairan juga apabila melihat penyambungan itu turut membabitkan kerja mengorek jalan berturap, sedangkan biasanya hanya syarikat kontraktor boleh melakukannya. Itu pun selepas mendapat kebenaran, bukannya dikorek sesuka hati,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Sahabat Hulu Selangor, Ramlee Mohd Nasir meminta pihak berkuasa menyiasat perkara itu kerana ia merugikan syarikat membekalkan air dan tidak adil kepada pengusaha lain yang membayar kadar komersial.

“Saya tidak faham mengapa perkara ini boleh terlepas pandang kerana aduan sudah dibuat,” katanya.

Ramlee juga meminta pihak berkuasa segera mengambil tindakan terhadap penceroboh tanah kerajaan di Bukit Beruntung seperti didedahkan BH selain menyiasat kebanjiran warga asing di kebun berkenaan sama ada mereka memiliki dokumen pekerjaan sah atau tidak.

“Kalau boleh, tanah diceroboh itu dikosongkan segera dan diberi peluang kepada anak tempatan untuk mengusahakannya bagi membantu mereka menjana pendapatan,” katanya.


Setiausaha Pertubuhan Sahabat Hulu Selangor, Ramlee Mohd Nasir. - NSTP/Owee Ah Chun

BH Ahad dalam laporannya pada 8 September lalu melaporkan isu pencerobohan tanah kerajaan dan milik persendirian di Bukit Beruntung oleh kumpulan warga Bangladesh, di kawasan dianggarkan seluas 60 hektar.

Mereka dikatakan bekerja dengan pihak tertentu yang menyewa tapak pertanian itu, tetapi menceroboh ke kawasan lain, termasuk 10 hektar milik Pejabat Tanah Galian (PTG), Hulu Selangor.

Walaupun diberikan notis pengosongan kawasan, arahan itu tidak diendahkan, bahkan aktiviti di situ berjalan seperti biasa.

Semakan BH berdasarkan pelan pembangunan Bukit Beruntung mendapati, kawasan diceroboh itu membabitkan tanah milik PTG Hulu Selangor, Menteri Besar Incorporated (MBI), syarikat swasta, rizab Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan rizab masjid serta rizab sekolah.

Pejabat Daerah dan Tanah kenal pasti sempadan

Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) memulakan kerja awal meninjau lokasi tanah kerajaan diceroboh warga Bangladesh di Bukit Beruntung, pagi semalam.

Pegawai Daerahnya, Musa Ramli, berkata tinjauan itu dilakukan untuk mengenal pasti sempadan tanah kerajaan yang diceroboh warga asing itu.

Katanya, ia disertai sepasukan sembilan kakitangan penguat kuasa bersama enam kakitangan Majlis Daerah Hulu Selangor dan dua wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) Rawang.

“Kami melihat sendiri kegiatan warga Bangladesh begitu selesa berkebun sayur di sini.

“Kami dapati ada 15 pekerja warga Bangladesh di situ bertempiaran lari bersembunyi selepas mendapati mereka dijejaki,” katanya ketika dihubungi BH.


Getah paip disambung dari Pangsapuri berhampiran ke rumah kongsi warga Bangladesh di Bukit Beruntung, Hulu Selangor. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Musa berkata, operasi bersepadu memusnahkan tanaman dan menyita aset digunakan penceroboh akan dijalankan pada masa terdekat, membabitkan pelbagai agensi.

Katanya, pihaknya memandang serius kedegilan warga Bangladesh di kawasan kebun sayur haram itu dan akan menyelesaikan isu seberapa segera.

Berita Harian X