Sabtu, 21 September 2019 | 5:28pm

Pemergian Dr Md Farid kehilangan besar untuk negara - PM

PONTIAN: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pemergian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, sebagai kehilangan besar untuk negara.

Perdana Menteri yang kelihatan sedih ketika ditemui media, turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Saya tidak ada apa nak cakap, dia masih muda. Ya (satu kehilangan besar untuk negara), takziah buat keluarga,” katanya ringkas dalam nada sebak kepada media selepas menunaikan solat jenazah dan sembahyang asar di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, Kampung Serkat, di sini, hari ini.

Dr Mahathir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, tiba di masjid itu pada jam 3.40 petang tadi untuk menyertai solat jenazah Allahyarham yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai.

Beliau kemudian mengadakan pertemuan dengan keluarga Allahyarham di Kampung Serkat Laut sebelum dijadualkan pulang semula ke Kuala Lumpur, petang ini.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, ketika ditemui media pula memaklumkan bahawa hasil bedah siasat mengesahkan Dr Md Farid, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

“Allahyarham adalah seorang doktor dan pakar bius di sebuah klinik swasta di Melaka.

“Perkara ini (pemergian Allahyarham) amat mengejutkan kerana arwah masih ada program hingga jam 3 pagi tadi.

“Namun pada jam 6 pagi tadi, arwah mengadu sakit di dada sebelah kiri dan pergi ke hospital sebelum meninggal dunia di sana,” katanya.

Dr Md Farid yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng, dengan memperoleh undi sebanyak 21,255.

Allahyarham menerima pingat Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) daripada Kerajaan Melaka yang membawa gelaran Datuk Wira, tahun lalu.

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menziarahi dan menunaikan solat jenazah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, di Masjid Jamek Dato' Haji Noh Gadot, Kampung Serkat, Pontian. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menziarahi dan menunaikan solat jenazah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, di Masjid Jamek Dato' Haji Noh Gadot, Kampung Serkat, Pontian. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X