Jumaat, 20 September 2019 | 11:50pm
Bilangan kes asma, konjuntivis dan jangkitan saluran pernafasan (URTI) di Sarawak mencatatkan peningkatan berikutan jerebu yang melanda negeri itu. - NSTP/L Manimaran
Sarjan (U) Shahzuwan Juhan memantau semburan kandungan tangki khas berisi larutan garam di dalam pesawat Hercules C-130 pada Operasi Pembenihan Awan di Pangkalan Udara TUDM Kuching berikutan beberapa kawasan di Sarawak mencapai IPU berbahaya Sri Aman (417) dan sangat tidak sihat di beberapa kawasan seperti Kuching dan Samarahan. - NSTP/L Manimaran

Masalah kesihatan berkaitan jerebu di Sarawak meningkat

KUALA LUMPUR: Bilangan kes asma, konjuntivis dan jangkitan saluran pernafasan (URTI) di Sarawak mencatatkan peningkatan berikutan jerebu yang melanda negeri itu.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan hari ini, memaklumkan hasil pemantauan di 15 fasiliti sentinel jerebu di negeri itu mendapati penyakit asma meningkat daripada purata 258 kes dalam tempoh 30 Jun hingga 7 September kepada 307 kes dalam tempoh 8 hingga 14 September.

“Begitu juga penyakit konjuntivitis, terdapat peningkatan daripada 63 kes kepada kepada 114 kes dan URTI pula bertambah daripada 1,788 kepada 1,868 kes dalam tempoh bandingan yang sama,” kata kenyataan itu.

Bagi tempoh sama di Sri Aman, melalui Klinik Kesihatan Sri Aman, terdapat penurunan penyakit asma daripada 34 kepada 31 kes.

Bagaimanapun, penyakit konjuntivitis merekodkan peningkatan daripada lima kepada enam kes, manakala penyakit URTI menunjukkan pertambahan daripada 66 kepada 71 kes.

Di Kuching, melalui Klinik Kesihatan Jalan Masjid dan Klinik Kesihatan Tanah Puteh, kesemua penyakit mencatatkan penurunan iaitu asma 61 kepada 58 kes, dan penyakit konjuntivitis 16 kepada 13 kes, manakala penyakit URTI daripada 487 kes kepada 425 kes.

Di Samarahan, melalui Klinik Kesihatan Samarahan, terdapat peningkatan penyakit asma daripada lima kepada tujuh kes. Bagaimanapun, bagi penyakit konjuntivitis, terdapat penurunan daripada tiga kepada dua kes dan penyakit URTI daripada 34 kepada 24 kes.

Bagi Sarikei pula, melalui Klinik Kesihatan Sarikei, terdapat peningkatan penyakit asma daripada 10 kepada 18 kes. Begitu juga bagi penyakit konjuntivitis yang mencatatkan pertambahan kes daripada empat kepada sembilan kes dan penyakit URTI meningkat daripada 247 kepada 301 kes.

Jabatan Kesihatan Sarawak turut menasihatkan orang ramai terutama golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, perokok dan mereka yang mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung dan alahan supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat jerebu. – BERNAMA

Berita Harian X