Jumaat, 20 September 2019 | 9:11pm

Jawatankuasa khas ditubuh bangun kerangka penggabungan UMT, UniSZA

PUTRAJAYA: Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyediakan cadangan kerangka universiti baharu hasil penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), kata Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT).

JPT dalam kenyataan hari ini berkata, keanggotaan jawatankuasa itu yang terdiri daripada pihak berkepentingan dan pakar dalam inisiatif itu, akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Jawatankuasa ini akan memastikan pandangan dan kepentingan semua pihak yang terbabit khususnya UMT dan UniSZA diambil kira dan diberi pertimbangan yang sewajarnya,” katanya.

Menurut JPT, penubuhan jawatankuasa itu dipersetujui dalam pertemuan antara pengurusan tertinggi kedua-dua universiti yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Siti Hamisah Tapsir.

“Semasa perjumpaan, surat pemakluman keputusan Jemaah Menteri berkaitan penggabungan kedua-dua universiti itu turut diserahkan kepada wakil universiti masing-masing,” kata kenyataan itu.

JPT berkata, antara kandungan surat itu adalah penerangan mengenai keperluan penggabungan bagi memaksimumkan penggunaan sumber melalui penjajaran semula tenaga kepakaran dan kemudahan infrastruktur sedia ada di kedua-dua universiti berkenaan.

“Langkah ini dilihat akan dapat memperkasakan lagi kebitaraan bidang fokus kedua-dua universiti, mempertingkatkan kualiti perkhidmatan serta memberi lebih nilai tambah kepada pelajar, pensyarah, warga universiti dan komuniti setempat selain melonjakkan prestasi dan pencapaian ke tahap yang lebih cemerlang di peringkat global,” katanya.

Menurut JPT, penggabungan itu juga memberi peluang kepada warga kedua-dua universiti untuk mempertingkat keterlihatan di peringkat antarabangsa dengan sinergi kepakaran, kekuatan dan sumber yang sedia ada.

Penggabungan UMT dan UniSZA dipersetujui Kabinet dalam mesyuarat pada 4 September lalu. - BERNAMA

Berita Harian X