Jumaat, 20 September 2019 | 8:13pm
Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Aizuddin Saad

Jika China gantung projek ECRL, Malaysia akan ikut - PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, kerajaan sedia menggantung sementara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika China berbuat demikian berikutan dakwaan projek terbabit ada kaitan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata sehingga kini Malaysia belum menerima sebarang pengesahan daripada China mengenai cadangan dikemukakan oleh bekas Ahli Penasihat Kerajaan (CEP), Prof Dr Jomo Kwame Sundaram, baru-baru ini.

“Dia (Jomo) perlu berunding dengan kerajaan China sendiri dan beritahu saya jika mereka (kerajaan China) boleh menggantung sementara Projek ECRL maka saya sedia mengikut jejak langkah mereka.

“Itu adalah dakwaan (Projek ECRL mempunyai kaitan dengan 1MDB) dia sendiri tetapi setakat ini kerajaan China belum mengesahkannya.

“Setakat ini Malaysia dan China sedia meneruskan semula projek ECRL selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk mengurangkan skop kerja dan kosnya, jadi projek berkenaan akan diteruskan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di Muzium Kesenian Islam di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas cadangan bekas Ahli CEP itu supaya kerajaan menggantung projek ECRL kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kes 1MDB yang sedang berlangsung di mahkamah.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir mahu penjelasan daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mengenai cadangan mereka menjual pengangan dalam Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada sebuah syarikat pengurusan lapangan terbang asing.

Sebelum ini media melaporkan Khazanah kini dilaporkan berada dalam proses akhir penjualan pegangannya dalam MAHB kepada sebuah syarikat pengurusan lapangan terbang di London iaitu Vinci & Gatwick Airports.

Dr Mahathir berkata Khazanah kini sedang meneliti untuk menjual kepentingannya dalam beberapa syarikat berikutan kerajaan terdahulu berhutang sehingga mencecah RM1 trilion tetapi wang berkenaan tidak dilaburkan dengan betul.

Ia sekali gus menyebabkan kerajaan sekarang terpaksa menggunakan wang pembayar cukai untuk membayar hutang berkenaan.

“Sebenarnya tujuan asal kita tubuhkan Khazanah adalah untuk membeli saham yang diperuntukkan kepada Bumiputera namun ia sudah melampaui peranan asalnya termasuk menubuhkan syarikat dan membeli saham dalam syarikat tertentu yang bukan bertepatan dengan tujuan asal penubuhan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila tiba masanya.

Berita Harian X