Jumaat, 20 September 2019 | 5:40pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

PAS tetap sokong Tun M terus jadi PM

MARANG: PAS teguh dengan pendirian supaya Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang, berkata kepemimpinan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu diterima baik majoriti Ahli Parlimen, berbeza dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tidak diterima sebahagian ahli partinya sendiri.

Beliau berkata, biarpun wujud perjanjian dalam Pakatan Harapan (PH) untuk Anwar mengambil alih teraju kerajaan sebagai Perdana Menteri kelapan, Dr Mahathir sewajarnya diberi peluang meneruskan mandat rakyat kerana keupayaannya mengendali dan menyelesaikan masalah negara.

“Masalah negara bukan masalah peribadi, sebab itu bagi PAS, biar Dr Mahathir memimpin lagi sehingga tamat penggal.

“Beliau sendiri dapat mengendalikan urusan (negara) ini dan kita perlu seorang Perdana Menteri yang boleh diterima majoriti Ahli Parlimen.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

“Oleh sebab itulah alasan kita supaya Dr Mahathir terus kekal sebagai Perdana Menteri. Pendirian kita itu bukan alasan yang tidak berpijak (di bumi nyata),” katanya ketika ditemui di kediamannya di Rusila, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Anwar yang membayangkan akan mengambil alih tampuk pentadbiran negara sekitar tahun depan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam satu temu bual dengan wartawan Bloomberg Television, Haslima Amin berkata, biarpun tiada tarikh tepat, peralihan kuasa yang akan menyaksikan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan menggantikan Dr Mahathir, itu dijangka berlaku pada 2020.

Ditanya adakah sokongan kuat kepada Dr Mahathir membawa maksud PAS tidak yakin dengan kepemimpinan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, Hadi berkata, Dr Mahathir dipilih rakyat pada PRU-14.

“Dari segi peraturannya begitulah, sebab pada PRU-14 rakyat pilih PH kerana Dr Mahathir jadi Perdana Menteri. Anwar tak masuk PRU-14, beliau dipilih masa pilihan raya kecil (PRK Parlimen Port Dickson), (jadi) PRK tak boleh jadi ukuran.

“PAS dan UMNO boleh terima Dr Mahathir, majoriti Ahli Parlimen dan sebahagian PKR pun terima beliau.

“Tetapi PKR sendiri berpecah dan Anwar hanya mendapat sokongan sebilangan ahli PKR, selain sebahagian pemimpin DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH),” katanya.

Berita Harian X