Jumaat, 20 September 2019 | 12:49pm
KETUA Pengarah Perikanan, Munir Mohd Nawi

Nelayan, pengusaha akuakultur perlu peka perubahan cuaca

KUALA LUMPUR: Jabatan Perikanan (DOF) menasihati semua nelayan dan pengusaha akuakultur di negara ini mengambil langkah sewajarnya berikutan keadaan jerebu dan cuaca tidak menentu ketika ini.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi, berkata pencegahan awal seharusnya dilakukan oleh setiap penternak akuakultur bagi mengelakkan risiko kematian ikan ternakan di kolam atau sangkar.

Katanya, langkah itu juga bagi mengurangkan kadar kerugian yang perlu ditanggung penternak.

“DOF amat prihatin dengan keadaan cuaca dan tahap kualiti udara yang semakin buruk ketika ini. Berdasarkan trend bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), kualiti udara di beberapa tempat terutam di Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak adalah sangat tidak sihat.

“Ini menyebabkan banyak aktiviti luar terpaksa ditangguhkan bagi mengelak masalah kesihatan. Justeru, penternak akuakultur dinasihatkan agar mengurangkan kadar jumlah kemasukan benih ikan ke dalam sistem ternakan bagi mengurangkan kepadatan ikan dan mengelak tekanan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Munir berkata, kadar pemberian makanan perlu ditentukan yang sepatutnya kepada ternakan dan hanya menuai ikan yang sudah mencapai saiz pasaran.

“Penternak akuakultur juga perlu menggunakan peralatan seperti ‘blower’, ‘paddle wheel’ atau teknologi terkini untuk meningkatkan kadar oksigen terlarut dalam air.

“Hendaklah sentiasa memastikan sistem ternakan terutama sangkar berada dalam keadaan baik dan selamat,” katanya.

Berita Harian X