Jumaat, 20 September 2019 | 12:03am
KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - Foto Hafiz Sohaimi

PDRM sokong keputusan kerajaan, sedia kaji prosedur pelaksanaan

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, yakin penggunaan kamera badan mampu mengelak pegawai dan anggota PDRM daripada melakukan kesalahan ketika menjalankan siasatan.

Sambil mengalu-alukan keputusan kerajaan melaksanakannya, Abdul Hamid berkata, dengan cara itu PDRM dapat menyampaikan perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat.

Beliau berkata, penggunaan kamera badan itu juga dapat mengelak pegawai dan anggota bertugas daripada segala tohmahan dan persepsi negatif masyarakat.

“Sekiranya dibekalkan kamera berkenaan, pihak kami akan mengkaji prosedur operasi standard (SOP) penggunaan dan pelaksanaannya. Ini satu langkah mengelakkan penyelewengan,” katanya ketika ditemui di Bukit Aman di sini, hari ini.

Sementara itu, Abdul Hamid ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran Tabung Pahlawan 2019 di sini, malam tadi berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan kerana sedia mempertimbangkan penggunaan kamera badan.

“Penggunaan kamera badan juga dapat mencegah anak buah saya daripada melakukan penyelewengan dan mengambil rasuah ketika menjalankan tugasan penguatkuasaan undang-undang setiap hari.

“Malah, ia boleh dijadikan bukti sekiranya ada anggota polis terbabit dengan sebarang kejadian tidak diingini serta fitnah,” katanya.

Selain kamera badan, beliau juga berharap polis akan dibekalkan dengan kemudahan lain seperti seperti pistol renjatan elektrik yang dapat memudahkan penahanan pesalah terutama kes membabitkan orang gila atau orang mengamuk tanpa menggunakan senjata api.

Katanya, PDRM memang memerlukan peralatan canggih seperti kamera badan dan pistol renjatan elektrik yang sudah pasti akan membolehkan tugasan mereka dilaksana dengan licin lagi telus.

“Walaupun kos untuk membeli peralatan berkenaan agak mahal, jika mahu dibandingkan dengan hasilnya adalah berbaloi.

“Jadi, saya amat mengharapkan peruntukan bagi membeli peralatan berkenaan (kamera badan dan pistol renjatan elektrik) dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2020 yang akan diumumkan kerajaan bulan depan,” katanya.

Berita Harian X