Khamis, 19 September 2019 | 10:12pm
Kebakaran yang mengorbankan 27 pelajar Madrasah Taufikiah Khairiah Al Halimiah atau dikenali Pondok Pak Ya pada 22 September 1989.
Gambar fail keadaan blok asrama pelajar perempuan Pondok Pak Ya yang terbakar pada 22 September 1989. - Ihsan SMA Taufikiah Khairiah

'Pedih masih berbekas sehingga kini'

YAN: “Kejadian itu seperti baharu berlaku semalam, pedihnya masih berbekas sehingga kini,” kata Halimah Wahab, guru Matematik Sekolah Menengah Agama (SMA) Taufikiah Khairiah Al Halimiah atau Pondok Pak Ya, Padang Lumat di sini.

Dalam tragedi yang berlaku pada 22 September 1989 itu, lapan blok asrama papan yang menempatkan 600 pelajar musnah akibat kebakaran yang dipercayai bermula dari blok E, sebelum merebak ke tujuh blok asrama lain sehingga mengorbankan 27 pelajar perempuan.

Walaupun peristiwa itu sudah menjangkau usia 30 tahun, tragedi itu masih berlegar-legar dalam ingatan Halimah, 61, kerana ia berlaku ketika beliau masih berpantang selepas melahirkan anak ketiganya.

Halimah yang mula bertugas di sekolah itu pada 1980 berkata, bagaimanapun kerana jarak sekolah yang berdekatan rumahnya, beliau menggagahkan diri untuk ke asrama dan melihat keadaan pelajar.

“Sebahagiannya (mangsa) adalah pelajar saya di Tingkatan Tiga, ada dalam kalangan mereka yang sangat rapat dengan saya.

“Sedih itu tidak dapat digambarkan, masih jelas di ingatan saya mayat mereka diangkat dan diusung keluar dari tempat kebakaran,” katanya yang masih tidak dapat menahan air mata tatkala mengimbas semula kejadian itu.


Azizah di hadapan dewan SMA Taufikiah Khairiah Al-Halimiah, Padang Lumat iaitu bekas tapak kebakaran yang mengorbankan 27 pelajar perempuan pada 22 September 1989 lalu. - NSTP/Amran Hamid

Gambar fail kejadian kebakaran yang mengorbankan 27 pelajar Pondok Pak Ya pada 22 September 1989.

Halimah berkata, antara yang tidak dapat dilupakannya ialah sikap salah seorang mangsa yang menghadiahkan semua bukunya kepada rakan-rakan.

“Sebelum itu, dia tidak pernah benarkan rakan-rakan pinjam bukunya, namun berubah sehingga berkata, 'kalau sesiapa nak ambil buku ini, ambillah’.

“Apabila dia sudah tiada, barulah masing-masing sedar perubahannya itu,” katanya.

Sementara itu, bekas pelajar yang terselamat dan kini mengajar di sekolah sama, Siti Jamilah Mohd Hassan, 42, berkata ketika kejadian beliau hendak tidur selepas melakukan Qiamullail sebelum dikejutkan pelajar senior.

“Api sedang marak di asrama tempat kami tinggal. Semua berlari keluar dan menyelamatkan diri sebelum berlindung di rumah jiran bersebelahan sekolah.

“Perasaan trauma itu masih ada, ketika mula mengajar di sini (sembilan tahun lalu) nak lihat tapak lama asrama tempat kejadian pun tidak sanggup,” katanya.


Gambar fail mayat mangsa kebakaran Pondok Pak Ya.

Senarai nama mangsa yang terkorban.

Bagaimanapun, Siti Jamilah enggan bercerita panjang mengenai kejadian itu bagi menjaga perasaan keluarga rakannya yang terkorban.

Bagi anak kepada pelajar yang terselamat, Nurul Balqis Abd Rahman, 16, berkata ibunya, Najah Saaban, 43, tidak pernah menceritakan kejadian berkenaan kepada keluarga.

“Saya hanya mengetahui kejadian ini melalui Youtube, emak tidak pernah cakap apa-apa, walaupun dia dan mak ngah (ibu saudara) belajar dan tinggal di asrama ketika kebakaran berlaku.

“Mak ngah pun tidak cerita apa-apa. Mungkin mereka ada sebab tertentu. Emak hanya pesan belajar dan hafal al-Quran elok-elok sahaja,” katanya yang berasal dari Selangor.


Galeri yang memaparkan gambar kejadian kebakaran Pondok Pak Ya. - NSTP/Muhamad Hafis Narwawi

Pondok Pak Ya bakal jadi tarikan sempena TMM2020

Dari hanya sebuah institusi pendidikan agama, Sekolah Menengah Agama (SMA) Taufikiah Khairiah Al Halimiah atau Pondok Pak Ya, di Padang Lumat di sini, bakal menjadi antara tarikan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Pengetuanya, Azizah Yahaya, berkata Majlis Daerah Yan (MDY) ada bertemu pihaknya menyatakan hasrat menjadikan Pondok Pak Ya sebagai lokasi tarikan dan perbincangan mengenai itu sudah dijalankan, baru-baru ini.

“Pondok Pak Ya mempunyai galeri, di mana kita menyimpan pelbagai sejarah mengenai sekolah sejak dari awal penubuhan, kejayaan serta tragedi yang berlaku pada 1989.

“Sebelum ini, sekolah ini sentiasa dikunjungi, terutama dalam kalangan pelajar sekolah, selain bahan di dalam galeri juga menjadi kajian dalam kalangan pelajar. Mungkin ini antara sebab MDY berminat,” katanya.

Azizah yang juga anak kepada pengasas sekolah ini, Allahyarham Tuan Guru Yahaya Junaid, memaklumkan bagaimanapun galeri berkenaan terpaksa ditutup sementara waktu berikutan surau yang menempatkan galeri itu sedang diroboh.

“Surau ini dua tingkat, di mana bahagian bawah kita buat galeri, namun kerana surau sudah berusia 80 tahun, terdapat beberapa kerosakan jadi kita perlu buat baharu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.


Pintu masuk ke SMA Taufikiah Khairiah Al-Halimiah, Padang Lumat. - NSTP/Amran Hamid

Azizah berkata, mengikut perancangan surau itu dijangka siap menjelang tahun hadapan, namun beliau bimbang kerana dana untuk membina surau itu masih belum mencukupi.

“Kos membina surau adalah RM1.5 juta, namun kami setakat ini hanya mampu mengumpul kira-kira RM500,000.

“Pihak sekolah berharap bekas pelajar kita di seluruh negara dan di Brunei dapat menyalurkan sumbangan. Juga kita berharap kerajaan turut sama membantu," katanya.

Beliau berkata, sejak kejadian kebakaran, pihak sekolah sentiasa menitik beratkan aspek keselamatan, di mana banyak bangunan sudah diubah suai.

“Surau ini adalah satu-satunya bangunan asal Pondok Pak Ya yang tinggal dan kini ia dirobohkan demi keselamatan pelajar.

“Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Rakyat Sekolah Agama Taufikiah Khairiah Al Halimiah (110651000508) atau menghubungi saya di talian 019-5654715,” katanya.

Berita Harian X