Khamis, 19 September 2019 | 4:00pm
Dr Mahathir media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Siri 10 Bilangan 5 Tahun 2019 di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Jerebu: Tun M hairan Indonesia tak terima tawaran Malaysia

PUTRAJAYA: Tindakan Indonesia yang enggan menerima bantuan Malaysia dalam usaha memadamkan kebakaran hutan di negara itu menimbulkan tanda tanya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, Malaysia sepanjang masa menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi memadamkan kebakaran hutan di negara itu yang mana Malaysia turut menerima kesannya.

“Saya tak tahu kenapa, dan bukan saya untuk bertanya (kepada Indonesia), awak (wartawan) perlu tanya (Presiden Indonesia, Joko Widodo) kenapa tak mahu terima bantuan kita (Malaysia).

“Kita ada pesawat pengebom air yang boleh digunakan (untuk operasi di Indonesia),” katanya kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Siri 10 Bilangan 5 Tahun 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kenapa Indonesia tidak menerima tawaran Malaysia untuk membantu memadamkan kebakaran hutan, walaupun kerajaan sebelum ini sudah mengemukakan tawaran kepada negara jiran terbabit.


Pemandangan berjerebu di Kuching dengan kualiti udara menunjukkan tahap bacaan IPU 267 pada 2.40 petang pada peringkat tidak sihat. - NSTP/ L Manimaran

Minggu lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin memaklumkan Malaysia sedia membantu Indonesia memadamkan kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera, berikutan jerebu yang melanda negara ketika ini.

Dalam entri di akaun Facebooknya, Bee Yin berkata, beliau mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kaunselor Indonesia, Agus Badrul Jamal serta Kaunselor Informasi, Sosial dan Hal Ehwal Budaya Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia, Agung Cahaya Sumirat, bagi membincangkan isu berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, juga dilaporkan berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedia membantu memadamkan kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera di Indonesia jika ada permintaan daripada pihak berkuasa negara jiran itu.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini berkata, faktor utama penyumbang punca bacaan indeks pencemaran udara (IPU) yang tinggi di negara ini adalah berikutan ratusan tompok panas akibat kebakaran di Kalimantan dan Sumatera.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menggunakan dron bagi melakukan pembenihan awan, seterusnya menghasilkan hujan dalam usaha mengurangkan kesan jerebu.

“Kita boleh menggunakan beberapa dron untuk menghasilkan hujan tiruan, misalnya di sekitar Putrajaya iaitu antara kawasan teruk terjejas,” katanya.

Ditanya apa lagi usaha untuk mengurangkan kesan jerebu, Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah melakukan pelbagai perkara, termasuk pembenihan awan dan mengagihkan topeng muka.

“(Selebihnya) Kita berdoa supaya hujan,” kata Perdana Menteri.

Berita Harian X