Khamis, 19 September 2019 | 6:38am

UM tersenarai antara universiti terbaik dunia

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) muncul sebagai universiti terbaik di Malaysia dari segi kebolehpasaran graduan selepas tersenarai dalam kedudukan ranking 141-150 daripada 500 universiti terbaik dunia dikeluarkan oleh Quacquarelli Symonds (QS) Employability Ranking 2020, dikeluarkan, hari ini.

Universiti tertua di Malaysia berkenaan melonjak dua kali daripada kedudukan 161-170 ke 141-150 ranking universiti terbaik dari segi kebolehpasaran graduan dengan mengumpulkan keseluruhan sebanyak 48.3 markah termasuk dari segi reputasi majikan; hasil alumni, kerjasama dengan majikan dan kadar kebolehpasaran graduan.

Selain UM, universiti Malaysia lain yang berada dalam senarai 500 universiti terbaik dunia dari segi kebolehpasaran graduan ialah Universiti Taylor’s yang kekal pada kedudukan 201-250; USCI melonjak dari tangga 301-500 kepada 251-300.

Sementara itu, lima institusi pengajian tinggi lain iaitu Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Management and Science University (MSU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang masing-masing kekal pada ranking 301-500 universiti terbaik dunia dari segi kebolehpasaran graduan 2020.

Terdahulu, QS mengumumkan Massachusetts Institute of Technology (MIT) mengekal reputasinya selaku universiti terbaik dunia dari segi kebolehpasaran graduan selepas menduduki tangga pertama, diikuti dengan Stanford University kedua, dan University of California di Los Angeles ketiga.

Selain itu, Universiti Tsinghua, dari China muncul universiti terbaik di rantau Asia selepas melonjak tiga anak tangga berbanding 2019 untuk menduduki ranking keenam terbaik dunia dari segi kebolehpasaran graduan diikuti dengan Universiti of Hong Kong yang meningkat dari kedudukan ke-13 ke ranking ke-9.

Berita Harian X