Rabu, 18 September 2019 | 2:14pm
Jokowi mengarahkan pihak berkuasa Indonesia melakukan operasi pembenihan awan secara berterusan bagi membantu memadamkan kebakaran. - Foto Reuters

Jokowi arah padam segera kebakaran hutan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 52 pesawat pengebom air diarah melakukan operasi memadamkan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan hari ini yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Arahan itu dikeluarkan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) bagi menangani kebakaran hutan selain mengerahkan ribuan anggota tambahan bagi melakukan operasi pemadaman di darat.

Jokowi berkata, beliau turut mengarahkan supaya pihak berkuasa republik itu melakukan operasi pembenihan awan (OPA) secara berterusan bagi membantu memadamkan kebakaran.

“Seramai 5,600 anggota tambahan tiba di Riau sejak semalam malah pesawat pengebom air juga sudah diarahkan melakukan operasi memadam kebakaran hutan. Saya sendiri sempat meninjau persiapan pasukan keselamatan untuk melakukan OPA.

“Saya berharap segala usaha yang kita lakukan ini dapat menangani kebakaran hutan tetapi usaha paling penting adalah pencegahan sebelum ia berlaku,” katanya menerusi status yang dimuat naik di laman Facebook rasminya.

Dalam pada itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan berkata, Indonesia giat melakukan operasi memadamkan kebakaran hutan bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan.

“Kerajaan sudah menghubungi Indonesia secara rasmi menerusi Kementerian Luar berhubung isu jerebu yang semakin buruk di negara ini.

“Berdasarkan maklumat daripada pihak berkuasa republik itu, pelbagai usaha sedang dilakukan antaranya meningkatkan pemantauan terhadap tompok panas, melakukan OPA, operasi memadamkan kebakaran dari udara serta darat,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, laporan daripada Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia mendapati 328,724 hektar kawasan terjejas akibat kebakaran hutan di seluruh Indonesia setakat ini.

Setakat jam 1 tengah hari tadi, lapan lokasi di beberapa negeri mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat.

Daerah Sri Aman, Sarawak yang sebelum ini mencatatkan bacaan pada paras bahaya, merekodkan perubahan positif apabila menyusut kepada 234.

Di Pulau Pinang, Minden mencatatkan bacaan 223 manakala Balik Pulau (253). Batu Muda di ibu negara pula mencatatkan bacaan 201.

Tiga lokasi di Selangor yang mencatatkan bacaan sangat tidak sihat adalah Petaling Jaya (207), Shah Alam (219) dan Johan Setia Klang (257) manakala Nilai, Negeri Sembilan (208).

Sebanyak 37 lokasi lagi mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.

Berita Harian X