Selasa, 17 September 2019 | 2:01pm
Gambar fail, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin menyampaikan syarahan sempena Minggu Maritim Dunia 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur, Jumaat lalu. - Foto Aizuddin Saad

Daim individu berpengaruh - PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui rakan lama dan sekutunya, Tun Daim Zainuddin sebagai individu yang sangat berpengaruh, susulan timbulnya isu kronisme di Putrajaya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, peranan Daim sebagai penasihat dan perunding kerajaan adalah kerana kebijaksanaannya dalam bidang perniagaan dan politik.

“Beliau mempunyai pengaruh, memandangkan beliau seorang perunding. Kita perlukan penasihat orang yang memiliki pengetahuan tertentu dan beliau memiliki pengetahuan mengenai perniagaan serta politik dengan pengalaman luas.

“Apabila kita membayar RM1 trilion hutang kerajaan, kepakarannya amat diperlukan.

“Selain itu, beliau sudah pergi banyak tempat dan bertemu ramai orang dari dalam dan luar negara, beliau boleh menilai kualiti individu yang patut kita lantik,” katanya dalam wawancara bersama stesen radio berbahasa inggeris tempatan, hari ini.

Dr Mahathir terus mempertahankan Daim walaupun dimaklumkan dalam wawancara berkenaan ramai yang berpandangan sebarang keputusan mengenai syarikat berkaitan kerajaan tidak akan dibuat selagi tidak menerima kelulusan Daim.

Perdana Menteri berkata, cadangan daripada Daim disertakan dengan alasan yang baik.

Beliau juga mengetepikan persoalan mengenai hubungan rapatnya dengan tokoh korporat tertentu termasuk Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Katanya, beliau bertemu ramai orang dan mereka bukan semuanya pembodek.

“Bukan setakat Syed Mokhtar Al-Bukhary, ramai orang jumpa saya. Mereka bercakap dengan saya dan kritik saya, bukan orang Melayu saja, malah ada orang Cina dan India juga,” katanya.

Berita Harian X