Selasa, 17 September 2019 | 1:53pm
Pemandangan berjerebu di Putrajaya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 183 (tidak sihat) ketika dirakam pada jam 10 pagi. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pesakit mata kesan jerebu meningkat

PUTRAJAYA: Jumlah pesakit bagi kes berkaitan konjunktivitis (mata) meningkat 20 hingga 30 peratus di 42 hospital kerajaan seluruh negara kesan jerebu teruk sekarang.

Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan, Dr Nor Fariza Ngah, berkata peningkatan itu adalah keadaan biasa setiap kali musim jerebu melanda negara.

“Kita dapati peningkatan 20 hingga 30 peratus pesakit di klinik mata kerajaan bagi mendapatkan rawatan mata akibat jerebu.

“Contohnya di Hospital Shah Alam saja, beza bulan lalu dan bulan ini, kes berganda daripada 40 kes kepada 80 kes sehari yang datang dengan masalah konjunktivitis

“Bagaimanapun, kami sentiasa bersedia dengan keadaan ini kerana tahu masalah ini berlaku setiap tahun,” katanya kepada media pada Majlis Hari Keselamatan Pesakit Sedunia Yang Pertama dan Seminar Keselamatan Pesakit dilancarkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Nor Fariza berkata, kebiasaannya pesakit datang selepas mengalami simptom sakit mata seperti mata gatal dan kering.

“Selalunya pesakit mengalami gejala mata kering dan mereka akan membeli ubatan sendiri, namun apabila masalah berlarutan sehingga mata mengalami gatal dan kemerahan, mereka akan datang merujuk kepada klinik mata kerajaan,” katanya.


Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan, Dr Nor Fariza Ngah. - Foto Saifullizan Tamadi.

Pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), Muhamad Syammirul Ezani Abdullah, menutup pagar sekolah berikutan masalah jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 179 (tidak sihat) yang dirakam pada jam 8 pagi. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Beliau berkata, orang ramai diminta mengurangkan aktiviti luar rumah yang boleh memberi kesan kesihatan terutama mereka yang mempunyai asma.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, fasiliti kesihatan di seluruh negara sentiasa bersiap siaga menangani peningkatan mendadak pesakit akibat jerebu.

“Selain itu, dari semasa ke semasa, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah akan memberi kenyataan berkaitan jerebu termasuk pada laman Facebooknya,” katanya.

Masalah jerebu teruk yang melanda negara menyebabkan sekolah di beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Sarawak ditutup.

Berita Harian X