Selasa, 17 September 2019 | 8:55am

Dilema sekolah kurang murid

Kuala Lumpur: Isu sekolah kurang murid sejak sekian lama menimbulkan dilema bukan sahaja kepada pentadbiran sekolah, guru, murid dan ibu bapa, malah kepada persoalan perlukah lagi sekolah seperti ini?

Kajian Kementerian Pendidikan mendapati hampir 30 peratus daripada kira-kira 10,000 sekolah di seluruh negara ialah sekolah kurang murid, iaitu mempunyai murid kurang 150 orang.

Setakat ini belum ada langkah berkesan bagi mengatasi isu itu. Tinjauan BH di beberapa sekolah ini mendapati, antara dilema guru ialah terpaksa mengajar banyak subjek, termasuk bukan pengkhususan, manakala pihak sekolah pula terpaksa berusaha lebih bagi menjamin kecemerlangan akademik.

Jumlah murid kecil mudah menjejaskan prestasi sekolah dan guru jika ada murid gagal dalam sesuatu subjek.

Bagi murid, mereka tidak mempunyai atau hanya ada beberapa rakan sekelas dalam tahun pembelajaran sama, selain tidak dapat menyertai aktiviti kokurikulum, terutama dalam sukan pada peringkat sekolah.

Malah, ibu bapa murid juga terbelenggu, sama ada anak mereka dapat pembelajaran sempurna dan mampu bersaing dengan murid sekolah lebih besar.

Pada pihak kerajaan, tanggungjawab menyediakan akses pendidikan untuk rakyat menyebabkan sekolah kategori itu tidak boleh sewenang-wenangnya ditutup, walaupun terpaksa mengeluarkan kos untuk urus tadbir serta membekalkan tenaga pengajar seperti sekolah lain.

Di Perak, sekolah menghadapi dilema itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Rebak yang terletak kira-kira 25 kilometer dari pekan Hutan Melintang, Bagan Datuk. Sekolah berkenaan mempunyai hanya lima murid dan empat guru.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tebing Rebak, Murad Samsuddin, berkata sekolah itu pernah mempunyai sehingga 200 murid, namun semakin berkurangan disebabkan ada sekolah baharu seperti SK Tanah Lalang dan SK Sungai Dulang Dalam.

Guru Besarnya, Siti Norhasidah Mohd Yusuf, berkata sekolah itu mempunyai semua kemudahan kecuali kantin yang terpaksa ditutup pada 2000 kerana kekurangan murid yang kemudian membawa bekalan makanan dari rumah.

“Sejak 1995, jumlah murid semakin berkurangan daripada 45 kepada 10 orang dan sejak 2001, hanya lima orang. Namun, acara besar seperti sukan tahunan dan aktiviti kokurikulum tetap diadakan seperti biasa,” katanya.

Di Kedah, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bukit Jenun di Pendang, hanya mempunyai 15 murid dengan lima tinggal di kawasan itu, selebihnya enam dari Gurun yang terletak kira-kira 15 kilometer dari sekolah selain empat murid adalah anak guru sekolah itu.

Seorang ibu, G Reetha, 45, berkata kekurangan murid membantu dua anaknya yang pernah belajar di sekolah itu memperoleh keputusan cemerlang 7A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan tahun ini, hanya anak bongsunya calon UPSR di sekolah itu.

Di Selangor, SK Tanjong Jawa di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam yang mula beroperasi pada 1958, kini hanya mempunyai 15 murid dan tujuh guru, walaupun lokasinya kira-kira 10 kilometer dari pekan Sabak Bernam.

Guru Besarnya, Khaire Md Zain berpendapat sekolah itu perlu dikekalkan walaupun mempunyai murid yang sedikit kerana faktor persekitaran memudahkan ibu bapa menghantar anak berbanding menghantar ke sekolah lain yang lebih jauh.

“Pada pendapat saya, meskipun sekolah kategori ini memerlukan peruntukan kewangan besar, tidak harus tutup kecuali dengan persetujuan penduduk kerana ia penting kepada mereka yang mahu hantar anak ke sekolah tanpa perlu keluarkan perbelanjaan banyak,” katanya.

Suri rumah, Noorazian Wahab, 41, yang empat anaknya yang bersekolah di situ, berkata jumlah murid sedikit membolehkan guru memberi tumpuan lebih kepada murid dan secara tidak langsung, pencapaian akademik murid serta prestasi sekolah meningkat.

Di Pulau Pinang, hanya 19 murid mengikuti pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aman yang terletak di sebuah pulau kecil di daerah Seberang Perai Selatan dan menjadi sekolah dengan murid paling sedikit di negeri itu.

Guru Besarnya, Nokman Che Abas yang mula bertugas di sekolah itu pada Januari 2016, berkata sekolah kurang murid bukan satu masalah, sebaliknya memberi kelebihan untuk murid kerana mendapat perhatian lebih daripada guru.

“Hubungan murid dan guru juga rapat, kami seperti sebuah keluarga besar, kemesraan di antara guru dan murid jarang boleh dilihat di sekolah harian biasa lain. Proses pengajaran dan pembelajaran di sini juga berlangsung seperti sekolah lain yang padat dengan murid,” katanya.

Katanya, sekolah itu hanya mempunyai empat kelas, masing-masing satu kelas untuk Tahun Satu dan Enam, manakala kelas Tahun Dua dicantum dengan Tahun Tiga serta Tahun Empat dicantum dengan Tahun Lima, seperti pekeliling Kementerian Pendidikan.

Guru Matematik, Nurul Artika Md Redzuan, 30, berkata SK Pulau Aman adalah sekolah pertamanya berkhidmat selepas bergelar guru tujuh tahun lalu dan tidak menyangka di negeri yang maju serta serba moden seperti Pulau Pinang, masih ada sekolah kurang murid.

Murid Tahun Enam, Muhd Adzryan Iskandar, 12, yang baru berpindah ke sekolah itu tahun ini, mengakui gembira serta teruja kerana hanya mempunyai seorang rakan sekelas selepas lima tahun berada dalam kelas dipenuhi lebih 30 murid di sekolah lamanya.

Di Sarawak, sebanyak 651 daripada 1,265 sekolah rendah di negeri itu dikategorikan sekolah kurang murid termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Sangai di Serian yang mempunyai 93 murid dan 13 guru.

Guru Besar SK Sangai, Mazi Julai, berkata waris murid sekolah itu tidak bersetuju dengan cadangan bergabung dengan sekolah kurang murid lain di sekitar kawasan berkenaan disebabkan faktor jarak rumah ke sekolah lain, keselamatan dan kewangan.

Di Melaka, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Datuk Abu Bakar Sahari, berkata hanya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tiang Dua di Jasin dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Lintang, dikategori kurang murid berikutan enrolmen kurang 150 orang tahun ini.

“SJKT Bukit Lintang hanya mempunyai 119 murid dan SJKC Tiang Dua seramai 117 murid,” katanya.


Khaire melihat proses pembelajaran murid di SK Tanjong Jawa, Sabak Bernam. - Foto Sairien Nafis

Syor sedia kemudahan infrastruktur lebih lengkap

Kuala Lumpur: Penyediaan kemudahan infrastruktur yang lebih lengkap seperti asrama penting dalam menyelesaikan permasalahan dan isu di sekolah kurang murid di negara ini.

Tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata isu lokaliti dan pengangkutan adalah topik utama yang mesti diberi perhatian, diperhalusi serta diteliti kerajaan terutama Kementerian Pendidikan, sebelum satu-satu keputusan dibuat.

Katanya, peruntukan sesuai perlu disediakan bagi membolehkan lebih banyak sekolah di pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak, memiliki asrama bagi pemusatan murid di sekitarnya.

“Di Sabah dan Sarawak, kebanyakan sekolah kurang murid ini berada di kawasan pedalaman, untuk menutup satu sekolah (kurang murid) dan memusatkan ke satu sekolah yang lain (berhampiran) mungkin sukar. Sebab utama adalah ketiadaan akses pengangkutan.

“Namun bagi sekolah kurang murid, terutama di Semenanjung yang tidak berdepan masalah pengangkutan atau kawasan antara sekolah kurang murid dengan sekolah terhampir pada radius satu hingga lima kilometer, ia tidak ada masalah (jika ditutup),” katanya ketika dihubungi BH.

Alimuddin berkata, penting bagi kementerian untuk memahami permasalahan utama di sekolah berkenaan terutama yang dihadapi oleh penjaga murid.

Beliau menyedari antara kekangan untuk menutup sekolah kurang murid dan memindahkan murid ke sekolah lain adalah persetujuan ibu bapa.

“Perlu perbincangan lebih kerap antara pihak sekolah dan ibu bapa, terutama memberi keyakinan kepada mereka mengenai manfaat boleh diperoleh jika sekolah ini ditutup dan murid dipindahkan ke sekolah yang baru.

“Mungkin aspek keselesaan, kemudahan pembelajaran lebih lengkap dan asrama antara yang sesuai diberi penekanan kepada ibu bapa yang mungkin berdepan masalah mereka sendiri. Kita mesti memahami masalah mereka dulu sebelum mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Alimuddin yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, isu di sekolah kurang murid bukan topik baharu dalam kementerian terbabit, namun sehingga kini ia masih memerlukan penyelesaian jangka panjang.

“Dulu pun isu sekolah ini selalu berbangkit, namun dalam mencari penyelesaian, keutamaan harus dilihat dari segi memastikan murid ini mendapat akses pembelajaran yang baik,” katanya.

Itu hak mereka (belajar).

“Jika penutupan sekolah ini sukar seperti di kawasan pulau yang akan menyusahkan murid untuk ke sekolah kerana perlu berjalan kaki berjam-jam termasuk ibu bapa perlu menghantar anaknya, keutamaan mesti diberi dengan memastikan sekolah itu dikekalkan,” katanya.

Berita Harian X