Isnin, 16 September 2019 | 9:43pm
KEADAAN cuaca di Lebuhraya Persekutuan kelihatan kabur ekoran jerebu yang melanda di sekitar Shah Alam. - Foto BERNAMA

Jerebu: 138 sekolah di Selangor ditutup

SHAH ALAM: Sebanyak 138 sekolah di Selangor ditutup esok berikutan Indeks Pencemaran Udara di kawasan berkenaan pada tahap tidak sihat.

Jabatan Pendidikan Selangor melalui satu kenyataan malam ini, berkata semua sekolah itu membabitkan lima daerah iaitu Hulu Langat (35), Sepang (23), Kuala Langat (53), Klang (24) dan Petaling Perdana (38).

Penutupan itu membabitkan 179,843 pelajar sekolah rendah, sekolah jenis kebangsaan, sekolah menengah dan kolej vokasional.

“Sebarang perubahan dan maklumat terbaru akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

“Pihak sekolah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan pelajar serta guru,” katanya.

Berdasarkan laman web Jabatan Alam Sekitar setakat jam 8 malam tadi, bacaan IPU di Johan Setia adalah 229, Klang (182) dan Banting (161) dan Shah Alam (194).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Berita Harian X