Ahad, 15 September 2019 | 8:26pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad dan Presiden Perbadanan Putrjaaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim menaiki Cruise Tasik Putrajaya bagi menyaksikan Kejohanan The Putrajaya Boat Race 2019 di Putrajaya. NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Perlu pelan atasi jerebu rentas sempadan - PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rancangan jangka panjang bagi mengatasi isu jerebu rentas sempadan perlu diwujudkan, namun ia memerlukan kerjasama negara serantau termasuk Indonesia.

Perdana Menteri berkata, hasrat itu sukar menjadi kenyataan tanpa kerjasama pihak terbabit.

“Jika tidak mendapat kerjasama (negara serantau), tidak mungkin rancangan jangka panjang dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan perlumbaan akhir kategori universiti (lelaki) kejohanan The Putrajaya Boat Race (TPBR) 2019 di sini, hari ini.

Ketika ini, anggota ASEAN tidak mempunyai undang-undang khusus berkaitan masalah jerebu rentas sempadan, sekali gus mengehadkan tindakan kepada peruntukan dalam negara masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir belum mengutus surat rasmi kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi, berkaitan isu jerebu rentas sempadan yang berlaku ketika ini.

Katanya, kerajaan perlu menentukan punca jerebu dan mendapatkan bukti jelas sebelum menghantar surat berkenaan, susulan dakwaan Indonesia bahawa Malaysia adalah punca jerebu berlaku.

“Tidak tulis apa lagi. Perlu tengok bukti (terlebih dahulu) kerana dia (Indonesia) kata jerebu datang dari Malaysia. Jadi kita kena pastikan sama ada datang dari Malaysia atau tidak,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata Dr Mahathir akan menulis surat rasmi kepada Jokowi berhubung isu jerebu rentas sempadan yang semakin meruncing.

Berita Harian X