Sabtu, 14 September 2019 | 4:54pm
Kerajaan menyifatkan penjualan dokumen MyKad dan sijil kelahiran kepada warga asing sebagai pengkhianatan besar terhadap negara. - Foto hiasan

Jual MyKad bermakna khianati negara - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Kerajaan menyifatkan penjualan dokumen MyKad dan sijil kelahiran kepada warga asing yang turut membabitkan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) baru-baru ini, sebagai pengkhianatan besar terhadap negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak yang terbabit secara langsung atau bersubahat dalam sindiket terbabit.

Katanya, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh, diarah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan membabitkan kes berkenaan atau berkaitan.

“Penangkapan 20 individu termasuk pegawai Jabatan Pendaftaran Negara yang terbabit dalam sindiket penjualan MyKad dan sijil lahir kepada warga asing baru-baru ini adalah pengkhianatan besar kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, 20 individu termasuk kakitangan JPN Pulau Pinang ditahan polis bagi membantu siasatan kes penjualan MyKad kepada warga asing.

Mereka ditahan dalam serbuan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Bahagian (D14) Siasatan Jenayah Terancang Bukit Aman.

Pada 12 September lalu, seorang lelaki bergelar Datuk dan pegawai di JPN Pulau Pinang adalah antara enam individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang atas 32 pertuduhan membabitkan aktiviti penjualan MyKad

dan dokumen pengenalan sah kepada warga asing.

Muhyiddin berkata, KDN bertanggungjawab atas proses permohonan kad pengenalan diri di Malaysia.

Katanya, permohonan yang lengkap akan diproses secara adil.

“Orang ramai dinasihatkan mengikut proses itu dan tidak mendapatkan apa juga jenis dokumen melalui saluran yang tidak betul.

“Mereka yang mempunyai maklumat mengenai sindiket pengeluaran dokumen secara tidak sah perlu menghubungi PDRM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berita Harian X