Jumaat, 13 September 2019 | 8:10pm
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek (kanan) bersama Moderator Datuk AC Mizal pada program Wacana Ilmu Dekad Membaca Kebangsaan anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Auditorium Perdana, Blok B1, Kompleks B, JPM hari ini. - Foto BERNAMA

Sabotaj punca penggabungan UMT, UniSZA menjadi isu

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendakwa sabotaj pihak tertentu dengan menyebarkan maklumat tidak lengkap mengenai penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), menjadi punca perkara itu mencetuskan kekeliruan.

Katanya, pihaknya mendapati ada saki baki rejim kerajaan terdahulu yang menggunakan isu penggabungan itu sebagai modal politik kepada pihak pembangkang terutama UMNO.

“Ada unsur sabotaj yang memecahkan isu (penggabungan) ini dengan memberi separuh maklumat sahaja. Kita dapati ini dilakukan rejim lama dan salurkan maklumat supaya jadi modal politik pembangkang.

“UMNO selama ini didapati menggunakan universiti awam sebagai pusat penyebaran politik mereka.

“Jadi kita hendak ubah itu. Tekad kita supaya universiti awam menjadi pusat rujukan global dalam bidang utama masing-masing dan kita mahu pastikan profesor dan graduan berdaya saing di peringkat antarabangsa serta mempunyai kebolehpasaran yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Wacana Ilmu Dekad Membaca Kebangsaan anjuran Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, cadangan penggabungan itu dibuat berikutan pencapaian UMT yang tidak memuaskan berbanding universiti lain, malah menduduki tempat kedua terbawah sebelum ini selain mengalami kekurangan kadar kebolehpasaran siswazah.

Berikutan itu, katanya, pihaknya sudah memikirkan cara terbaik untuk memperbaiki keadaan itu dan dengan lokasi UMT serta UniSZA yang bersebelahan, kedua-dua institusi perlu bergabung tenaga untuk maju ke depan.

“Di UMT dan UniSZA ada kursus diajar profesor yang sama tetapi dua universiti berbeza dan dalam bidang sama. Apabila dibincangkan, Kabinet mencadangkan kenapa tidak disenergikan dua universiti ini seperti dilakukan di Norway, Finland, United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat,” katanya.

Ditanya berhubung dakwaan mengatakan ada unsur rasuah yang menjurus kepada penggabungan itu, beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menguruskannya kerana ia di luar bidang kuasa kementeriannya.

“Kementerian memberi segala kerjasama kepada SPRM dan mana-mana pihak yang menyiasat tentang sebarang pelakuan rasuah di mana-mana universiti,” katanya.

Berhubung bantahan pelajar UMT, semalam, beliau berkata, wakil kementerian sudah pergi ke UMT dan mengadakan perbincangan dengan pelajar dan pada masa sama pihak pengurusan lembaga universiti juga sudah mengeluarkan kenyataan.

Jemaah Menteri pada 4 September lalu bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan UMT dan UniSZA.

Berita Harian X