Jumaat, 13 September 2019 | 3:30pm
Mujahid pada sidang akhbar selepas pelancaran Minggu Rahmatan Lil Alamin (RLA) dan logo Rahmah di Gombak, hari ini. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Mujahid merasmikan Minggu Rahmatan Lil Alamin (RLA) dan logo Rahmah di Gombak, hari ini. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

'Terima kasih Arab Saudi'

GOMBAK: Malaysia menyambut baik keputusan penstrukturan semula kadar caj visa Haji seperti diumumkan kerajaan Arab Saudi baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata beliau bersama Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengadakan pertemuan bagi menilai dasar baharu yang dikemukakan itu.

“Kadangkala kalau membabitkan dasar, kita tidak punyai pilihan, bagaimanapun saya mengucapkan terima kasih kepada Arab Saudi, kerana memudahkan semua urusan Haji rakyat negara kita selama ini,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Minggu Rahmatan Lil Alamin (RLA) dan logo Rahmah di sini hari ini.

Baru-baru ini, laporan Arab News memetik Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Mohammed Salih Bentin sebagai berkata negara itu melakukan penstrukturan semula kadar caj haji, visa transit dan pembatalan caj umrah bagi kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, ia objektif terpenting dalam rancangan pembaharuan visi 2030, iaitu menerima 30 juta jemaah umrah pada tahun berkenaan dan memberikan perkhidmatan hebat agar mereka boleh melakukan ibadat dengan selesa dan tenang.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini memperkenalkan skim baharu bagi kemasukan tunggal ke negara itu adalah 2,000 riyal (RM2,250).

Bagaimanapun, pengunjung yang kali pertama memasuki Arab Saudi untuk menunaikan haji atau umrah dikecualikan daripada caj berkenaan

Berita Harian X