Khamis, 12 September 2019 | 6:14pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik berucap pada sesi Townhall Menteri Pendidikan bersama mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) di kampus Puncak Alam Shah Alam, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

Kementerian Pendidikan beri jaminan tiada pemberhentian pensyarah

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan memberi jaminan tiada pemberhentian pensyarah dalam penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, sebaliknya berkata penggabungan dua universiti itu akan menjadikan pensyarah lebih dinamik dan berdaya saing melalui perkongsian idea serta hasil kajian.

“Kabinet juga bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa yang akan mengkaji serta bertemu pemegang taruh. Jawatankuasa ini juga akan kumpul pandangan pihak berkaitan.

“Ingin saya jelaskan penggabungan UMT dan UniSZA tidak akan membabitkan pengurangan pensyarah. Pensyarah dan profesor dua universiti ini akan bergabung serta berkongsi kepakaran masing-masing,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri sesi Townhall Menteri Pendidikan bersama mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) di kampus Puncak Alam di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan terpaksa membuat keputusan menggabungkan UMT dan UniSZA selepas mendapati dua universiti itu tidak mempunyai pelan strategik yang jelas.

“Sebelum ini UMT dan UniSZA tiada pelan strategik. Sebelum ini pencapaian dua universiti ini tidak melayakkannya menjadi universiti bertaraf antarabangsa.

“Saya akan pastikan penggabungan ini akan melonjakkannya sebagai pusat rujukan antarabangsa dalam bidang maritim serta bidang berkaitan dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Berhubung bantahan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT dan UniSZA, beliau berkata, penggabungan dua universiti itu akan turut memberi manfaat kepada mahasiswa.

“Perkara sama sudah dilaksanakan universiti dan kolej di beberapa negara termasuk University of Manchester dan University of Manchester Institute of Science & Technology (UMIST) di United Kingdom.

“Penggabungan institusi juga berlaku di Australia dan Amerika Syarikat. Ia mampu melonjakkan universiti ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Jemaah Menteri pada 4 September lalu bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan UMT dan UniSZA

Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan, berkata penggabungan itu dilihat sebagai satu daripada transformasi penyampaian pendidikan tinggi.

Berikutan cadangan itu, lebih 20,000 penuntut UMT dan UniSZA tidak bersetuju dan membantah cadangan penggabungan dua universiti itu.

MPP dua universiti itu, berkata, penggabungan UMT dan UniSZA bukan saja akan menghilangkan identiti institusi pengajian tinggi itu tetapi latar belakang pengajian universiti yang jauh berbeza.

Berita Harian X