Khamis, 12 September 2019 | 4:52pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Isu jerebu, PM tulis surat kepada Presiden Indonesia

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menulis surat rasmi kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo berhubung isu jerebu rentas sempadan yang semakin meruncing.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata isu (menulis surat) itu dibincangkan bersama Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet bagi menangani jerebu semalam.

“Perdana Menteri bersetuju menulis surat kepada Presiden Indonesia, berhubung isu jerebu merentasi sempadan ini yang semakin serius.

“Surat itu bagi menarik perhatian pemimpin negara republik itu untuk menangani jerebu yang semakin kritikal akibat pembakaran hutan.

“Saya memang berharap Kerajaan Indonesia dapat mengambil tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh dan menggerakkan aset mereka untuk menangani kebakaran hutan di Kalimantan serta Sumatera,” katanya selepas penutupan Hari Inovasi Kejuruteraan-Industri Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dewan Sultan Iskandar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Bee Yin berkata, surat rasmi kepada Joko Widodo itu akan diuruskan Pejabat Perdana Menteri secepat mungkin.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya yang mengadakan pertemuan dengan wakil duta Indonesia ke Malaysia bagi membincangkan perkara berkenaan pada minggu lalu, mendapat kerjasama baik daripada pihak terbabit.

Berita Harian X