Khamis, 12 September 2019 | 3:58pm
WANITA yang dipercayai mendera bayinya (kiri) dibawa ke mahkamah majistret Kemaman untuk mendapat perintah tahanan reman. NSTP/Rosli Ilham

Bayi maut kerana kurang oksigen

KUALA TERENGGANU: Bayi perempuan berusia tiga bulan yang maut disyaki didera ibu kandungnya disahkan meninggal dunia akibat kekurangan oksigen.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh, berkata hasil laporan bedah siasat ke atas mayat bayi itu bagaimanapun tidak menemui kesan penderaan.

“Hasil bedah siasat dilakukan akan diserahkan sepenuhnya kepada polis kerana kes itu masih dalam siasatan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Perubatan dan Bukan Perubatan oleh Exxonmobil kepada Jabatan Kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, hari ini.

Dr Mohd mengulas hasil laporan bedah siasat ke atas seorang bayi perempuan yang maut dipercayai didera ibu kandungnya berusia 27 tahun dalam kejadian di rumah mereka di Bandar Cheneh Baru, Kemaman, semalam.

Kejadian itu disedari bapa kepada bayi berkenaan berusia 27 tahun ketika pulang ke rumah untuk menghantar makanan kepada isterinya kira-kira jam 10 pagi semalam.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri menerima sumbangan mesin ‘ultrasound’ untuk kegunaan Jabatan Neorologi HSNZ bernilai RM80,000 dan ‘Patient Transport Stretcher’ bernilai RM13,000 untuk digunakan Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Selain itu, Exxonmobil turut menyumbangkan peralatan bukan perubatan untuk Jabatan Kesihatan Awam iaitu enam unit generator, lima unit alat pencuci ‘water jet’, 24 unit lampu kecemasan dan 240 helai ‘vest’ bercetak bernilai RM50,200.

Penyerahan peralatan itu dilakukan Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Kerajaan Exxon Mobil Malaysia, Sukiman Mohamed.

Berita Harian X