Khamis, 12 September 2019 | 3:11pm
UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Suara mahasiswa tak akan diabai

KUALA TERENGGANU: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memberi jaminan suara pelajar mengenai cadangan penggabungan dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tidak akan diabaikan.

MPP itu dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata, badan itu akan mendapatkan maklumat terperinci dari semasa ke semasa serta menyampaikan suara pelajar kepada Jawatankuasa Khas yang akan ditubuhkan untuk membincangkan cadangan itu.

Justeru, MPP UniSZA meminta seluruh mahasiswa universiti itu tidak membuat sebarang spekulasi dan tindakan terburu-buru mengenai isu penggabungan UniSZA dan UMT yang sedang hangat diperkatakan yang boleh mencemar imej universiti itu.

"Selepas perbincangan dibuat, MPP UniSZA sebulat suara bersetuju untuk menyelidik dengan lebih terperinci isu ini sebelum melakukan sebarang tindakan kerana belum mendapat maklumat sahih dan jelas mengenainya.

"Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip mengenai penggabungan dua universiti ini, namun pelaksanaannya bukanlah serta-merta. Pelbagai aspek perlu dititikberatkan sebelum ia dilaksanakan.

"Kementerian Pendidikan mengatakan mereka masih dalam usaha menyediakan kerangka pelaksanaan penggabungan yang akan dimulakan dengan pembentukan Jawatankuasa Khas yang dianggotai pegawai pentadbir, pensyarah, pelajar dan wakil pelbagai agensi, kementerian serta pihak berkepentingan.

"Sepanjang tempoh pembentukan Jawatankuasa Khas ini, MPP akan mendapatkan maklumat lebih terperinci dari semasa ke semasa serta menyampaikan suara dan hasrat mahasiswa terus kepada pihak berkaitan," kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Kenyataan itu juga menyebut, kajian secara mendalam dengan mengambil kira pandangan pemegang taruh perlu dilakukan kerana matlamat penubuhan setiap universiti berbeza dan kesannya juga harus dibincangkan supaya tidak membawa kemudaratan pada masa akan datang.

"Kami percaya penggabungan ini mempunyai pro dan kontra, pasti ada kebaikan dan manfaatnya.

"Meskipun begitu jangan pernah kita abaikan kesan sampingannya dan jika kesan ini lebih mudarat, idea penggabungan dua universiti awam ini perlu diperhalusi sebelum sebarang keputusan akhir dibuat.

"Sehubungan itu, MPP UniSZA sentiasa terbuka dan menerima sebarang pendapat dan idea daripada mahasiswa demi kemaslahatan UniSZA.

"Mahasiswa dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan provokasi antara mana-mana pihak bagi menjaga nama baik universiti," kata kenyataan itu.

Berita Harian X