Khamis, 12 September 2019 | 2:01pm
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin (tengah) bersama Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar (dua dari kanan ) melihat pameran yang diadakan selepas merasmikan hadir majlis perasmian penutup UTM Engineering-Industry Innovation Day 2019 (EIIDay 2019) di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru, Johor. - Foto Zain Ahmed

Pembenihan awan atasi jerebu bermula hari ini - Bee Yin

JOHOR BAHRU: Proses pembenihan awan akan dimulakan hari ini di Sarawak bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan yang semakin meruncing.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata langkah itu diputuskan Kabinet semalam berikutan keadaan jerebu dalam negara yang semakin serius dan berbahaya.

Katanya, semua agensi berkaitan sudah bersiap siaga untuk memulakan proses pembenihan awan sebaik pemantauan awal selesai dilakukan.

“Hari ini kawasan ‘hotspot’ atau tompok panas kebakaran hutan di Kalimantan meningkat kepada 1,188 berbanding 480 semalam manakala di Sumatera pula meningkat kepada 431 berbanding 387. Secara perbandingannya hanya terdapat lima tompok panas di Malaysia hari ini berbanding tujuh semalam.

“Jika dilihat angka pertambahan tompok panas kebakaran hutan di Kalimantan hari ini, jerebu di Sarawak dijangka bertambah serius.


MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin bersama Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar (tengah) bergambar dengan peserta pameran pada majlis perasmian penutup UTM Engineering-Industry Innovation Day 2019 (EIIDay 2019) di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru, Johor. - Foto Zain Ahmed

“Namun kerajaan sudah menggerakkan proses pembenihan awan di Sarawak hari ini dan sekiranya keadaan awan sesuai, ia akan dimulakan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penutupan rasmi Hari Inovasi Kejuruteraan-Industri Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di Dewan Sultan Iskandar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UTM,Prof Datuk Dr Wahid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Dan Presiden Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Ditanya mengenai dakwaan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar, yang terus menafikan hakikat bahawa jerebu yang melanda Malaysia ketika ini berpunca dari republik itu, Bee Yin berkata, mungkin rakan sejawatnya itu tidak memeriksa data dari sumber yang diiktiraf dan sahih.

“Penafian (Siti Nurbaya) itu mungkin kerana beliau tidak merujuk laman sesawang Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) berpusat di Singapura, yang bukan sahaja diiktiraf di peringkat antarabangsa dan digunakan negara serantau termasuk Malaysia bagi merujuk isu jerebu termasuk punca dan arah tiupan angin.

“Malah data laman sesawang itu secara jelas memberi perincian punca jerebu yang berlaku sekarang ini adalah dari Indonesia, ” katanya.

Semalam, Bee Yin membidas Siti Nurbaya dan dilaporkan BH berkata, data tompok panas dan arah angin daripada ASMC jelas membuktikan Malaysia menjadi mangsa jerebu yang datang dari negara itu.

“Data terkini mengenai jumlah tompok panas oleh ASMC menunjukkan sebanyak 474 tompok panas di Kalimantan dan 387 di Sumatera berbanding hanya tujuh di Malaysia,” katanya.

Berita Harian X