Khamis, 12 September 2019 | 12:20pm
KEADAAN air di Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam. - Foto Adnan Ibrahim

Kerajaan Johor akan laksana pembenihan awan - EXCO

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan melaksanakan pembenihan awan dalam masa terdekat bagi mengatasi isu kemerosotan sumber air di beberapa Loji Rawatan Air (LRA) utama di negeri ini, sejak Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse, berkata pihaknya menggunakan peruntukan kecemasan sebanyak RM175,000 bagi menampung kos pembenihan awan sebanyak lima kali bagi tahun ini.

“Kerajaan negeri mempunyai rancangan untuk melakukan pembenihan awan disebabkan paras air empangan dan sungai yang menjadi sumber utama bekalan air semakin susut berikutan fenomena El Nino yang melanda negara.

“Bagaimanapun, semua pihak perlu faham, untuk membolehkan usaha pembenihan awan berjaya, kita perlu mendapatkan pandangan banyak pihak termasuk konsultan dan agensi serta jabatan kerajaan yang lain.

“Peratusan kejayaan proses pembenihan awan juga amat bergantung kepada keadaan cuaca yang sesuai, jadi kita perlu menunggu masa yang tepat untuk melakukannya,” katanya.


JIMMY Puah Wee Tse

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH-DAP Bukit Batu berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Yeo Tung Siong (PH-DAP Pekan Nenas) pada Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke-14 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada tahun hadapan, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi tujuan pembenihan awan.

Sementara itu, Wee Tse berkata, kerajaan negeri sudah melaksanakan beberapa projek untuk mengatasi isu bekalan air di negeri ini terutama ketika menghadapi cuaca panas.

Beliau berkata, antaranya ialah Projek Penyaluran Air Mentah Petronas (PAMER) dari Empangan Seluyut ke Empangan Lebam; Projek Penyaluran Air Mentah Sungai Lenggor ke Empangan Congok; Projek Layang Dua (Fasa Satu) membabitkan penyaluran air dari Empangan Seluyut ke Empangan Upper Layang dan Projek Penyaluran Air Mentah dari Empangan Kahang ke LRA Sembrong Timur.

Katanya, selain itu, projek pembinaan tiga telaga air tanah sebagai sumber bekalan air alternatif bagi LRA Lok Heng juga sudah siap dibina pada Jun lalu.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan projek sumber air termasuk Cadangan Empangan Sungai Ulu Sedili Besar, Bendungan Sungai Sedili Besar, Takungan Pantai Sungai Johor dan Sungai Pulai, projek pemindahan air mentah dari Empangan Sungai Machap ke LRA Simpang Renggam dan projek pemindahan air mentah dari Sungai Sedili Besar ke LRA Gambut.

315 dibaca
Berita Harian X