Khamis, 12 September 2019 | 12:14pm
KUALITI udara dengan di sekitar Rompin dengan Indeks Pencemeran Udara (IPU) 84 berdasarkan data Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 11.30 pagi ini. - Foto Mohd Rafi Mamat
KUALITI udara di Bandar Kuantan kelihatan baik pada bacaan 77 iaitu sederhana pada jam 12 tengahari ketika tinjauan di Masjid Negeri, Sultan Ahmad Shah. - Foto Farizul Hafiz Awang

16 sekolah di Rompin ditutup hari ini

KUANTAN: Sebanyak 16 sekolah rendah dan menengah di Rompin ditutup hari ini, selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah itu masih merekodkan kualiti tidak sihat.

Walaupun bacaan IPU pada jam 11 pagi ini menurun kepada 85 berbanding 227 semalam, keputusan itu sebagai langkah berjaga-jaga untuk kesihatan murid dan guru.

Jurucakap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rompin berkata, penutupan sesi persekolahan itu dilakukan selepas rekod IPU di kawasan Rompin dikategorikan tidak sihat.

Bagaimanapun, katanya, penutupan itu hanya membabitkan kawasan Rompin manakala di Muadzam Shah dan Bukit Ibam, sesi persekolahan berjalan seperti biasa.

“Ada 60 sekolah rendah dan menengah di Rompin tetapi hanya 16 sekolah termasuk sebuah sekolah menengah yang terjejas.


KUALITI udara dengan di sekitar Rompin dengan Indeks Pencemeran Udara (IPU) 84 berdasarkan data Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 11.30 pagi ini. - Foto Mohd Rafi Mamat

“Dalam keadaan semasa, kami berharap kualiti udara akan bertambah baik supaya pelajar dapat kembali ke sekolah esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jurucakap itu berkata, pemakluman penutupan sekolah dilakukan malam tadi, selepas mendapati bacaan IPU masih dikategorikan tidak sihat.

Katanya, jika bacaan IPU menurun iaitu pada paras sederhana, pihaknya akan memaklumkan kepada murid pada hari ini sama ada sesi persekolahan kembali dibuka esok.

Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata beliau menerima laporan daripada PPD Rompin melalui Jabatan Pendidikan Pahang, semalam.

Katanya, semua sekolah di Pahang sudah dimaklumkan berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila menghadapi keadaan jerebu itu.

“Saya harap pihak sekolah akan terus berhubung dengan JAS untuk memantau bacaan IPU dan mematuhi SOP terutama sekolah di Rompin,” katanya.

692 dibaca
Berita Harian X