Khamis, 12 September 2019 | 12:09pm
KEADAAN jerebu di sekitar Pelabuhan Klang dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada jam 8 pagi adalah 209 iaitu paras sangat tidak sihat. - Foto Faiz Anuar
PEMANDANGAN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), 125 (tidak sihat) ketika dirakam pada jam 8.30 pagi. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Jerebu di Johan Setia semakin teruk

KUALA LUMPUR: Kualiti udara di stesen Johan Setia, Klang semakin teruk apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat kepada 213 berbanding 201 petang semalam.

Setakat jam 9 pagi tadi, data dipaparkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) tidak banyak berubah apabila 16 lagi kawasan direkodkan tidak sihat.

Selain Johan Setia Klang yang menunjukkan bacaan IPU sangat tidak sihat, lima lagi stesen di Selangor terjejas ialah Kuala Selangor (140), Petaling Jaya (126), Shah Alam (133), Klang (136) dan Banting (124).


KEADAAN ibu kota Kuala Lumpur berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan 125 pada jam 11.45 pagi ketika tinjauan dari Menara Dewan Bandara Kuala Lumpur (DBKL). - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Di Kuala Lumpur dua kawasan tidak sihat adalah Batu Muda dan Cheras dengan bacaan IPU masing-masing 144 dan 127 manakala Putrajaya (128).

Turut terjejas ialah Nilai dengan rekod bacaan IPU 127, Tangkak (110), Jerantut (115) dan Sarawak satu stesen di Sri Aman (160).

Kualiti udara juga tidak sihat di dua stesen di Perak iaitu Tasek Ipoh (103) dan Seri Manjung (140), manakala dua lagi stesen di Pulau Pinang iaitu Balik Pulau (128) dan Minden (103).

Data keseluruhan menunjukkan kualiti udara di 52 lagi kawasan lain berada dalam keadaan tahap sederhana.

Untuk rekod, bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 pula tahap berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.

1945 dibaca
Berita Harian X