Khamis, 12 September 2019 | 11:53am
KEBAKARAN hutan yang berlaku di Kampar, Riau, Indonesia. - Foto AFP

Kebakaran hutan di Indonesia: JBPM sedia bantu jika diperlukan - Zuraida

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia membantu memadamkan kebakaran hutan di Kalimantan serta Sumatera, Indonesia, jika ada permintaan daripada pihak berkuasa negara jiran itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata setakat ini, perkara itu belum dibincangkan pada peringkat Kabinet, namun kerajaan bersedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.

“Kita sedia bekerjasama jika diperlukan (oleh pihak berkuasa Indonesia), sudah tentu bomba (JBPM) bersedia memberikan bantuan (memadamkan kebakaran),” katanya kepada media selepas prapelancaran Asia-Pacific Urban Forum Ketujuh (APUF7), di sini, hari ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, sebelum ini memaklumkan bahawa Malaysia bersedia membantu Indonesia memadamkan kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera, susulan jerebu yang melanda negara ketika ini.

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Melalui entri dalam akaun Facebook beliau, Bee Yin berkata, beliau mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kaunselor Indonesia, Agus Badrul Jamal, serta Kaunselor Informasi, Sosial dan Hal Ehwal Budaya Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia, Agung Cahaya Sumirat, bagi membincangkan isu berkenaan.

Berdasarkan data Sistem Pemantau Kebakaran Hutan Indonesia, setakat kelmarin, sebanyak 247 tompok panas dikesan di wilayah Kalimantan, diikuti Papua (48), Jambi (40) dan Sumatera Selatan (22).

Media sebelum ini melaporkan menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS), faktor utama menyumbang bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi di negara ini ialah berikutan ratusan tompok panas akibat kebakaran di Kalimantan dan Sumatera.

Mengenai penganjuran APUF7 pula, Zuraida berkata, forum bandar pelbagai peringkat dan pihak berkepentingan di rantau Asia Pasifik yang bakal berlangsung dari 15 hingga 17 Oktober depan di SPICE Convention Centre, Pulau Pinang itu dijangka menarik penyertaan 7,000 orang daripada 60 negara.

Beliau berkata, sempena program itu, kementeriannya melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan turut menganjurkan Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada 14 hingga 15 Oktober depan.

“Tujuan konvensyen itu diadakan bersekali dengan APUF ialah untuk memastikan pentadbir bandar dan Ahli Majlis di PBT dapat mempelajari sesuatu hasil perkongsian ilmu oleh penceramah dari dalam serta luar negara.

“Selain itu, mereka diharapkan dapat menjalin kerjasama dan melihat inisiatif perbandaran serta penyelesaian isu bandar daripada negara lain,” katanya.

Berita Harian X