Khamis, 12 September 2019 | 10:02am
KEADAAN jerebu di sekitar Pelabuhan Klang dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada jam 8 pagi adalah 209 iaitu paras sangat tidak sihat. - Foto Faiz Anuar
KEADAAN jerebu di sekitar Pelabuhan Klang dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada jam 8 pagi adalah 209 iaitu paras sangat tidak sihat. - Foto Faiz Anuar
PEMANDANGAN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), 125 (tidak sihat) ketika dirakam pada jam 8.30 pagi. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Jerebu: Bukan protes tetapi tawar bantu Indonesia tangani kebakaran - Duta Malaysia

JAKARTA: Malaysia tidak menuding jari kepada Indonesia berikutan masalah jerebu yang melanda, sebaliknya menawarkan bantuan menangani kebakaran hutan di beberapa wilayah di republik itu ketika ini.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar, berkata surat rasmi Kerajaan Malaysia melalui Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berhubung tawaran itu sudah disampaikan kepada pemerintah Indonesia, baru-baru ini.

“Tidak ada surat protes, tetapi (surat) keinginan Malaysia untuk menangani jerebu (membantu memadamkan kebakaran hutan dan kawasan pertanian di Indonesia),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Resepsi Hari Kebangsaan Malaysia 2019, malam tadi.


KEADAAN jerebu di sekitar Pelabuhan Klang dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada jam 8 pagi adalah 209 iaitu paras sangat tidak sihat. - Foto Faiz Anuar

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar, seperti dilaporkan media tempatan yang kononnya Malaysia sudah menghantar surat bantahan, menuduh Indonesia menjadi punca berlakunya jerebu di Malaysia.

Siti Nurbaya juga dilaporkan akan menulis surat kepada Zainal Abidin bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

Siti Nurbaya berkata, berdasarkan laporan Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, asap atau jerebu akibat kebakaran di Kalimantan dikesan bergerak ke Malaysia (Sarawak) hanya dalam tempoh satu jam pada Ahad lalu.

“Asap (jerebu) yang masuk ke Malaysia, ke Kuala Lumpur, itu dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia, dan juga mungkin sebahagian dari Kalimantan Barat. Oleh itu, (Malaysia) seharusnya objektif menjelaskannya,” kata Siti Nurbaya.

Namun, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, berkata beliau tidak pernah menerima sebarang surat bantahan daripada Malaysia berhubung perkara itu.

“Sampai sekarang, saya belum terima (surat protes) (tapi) Menteri Siti Nurbaya dan BMKG sudah buat kenyataan berkaitan masalah ini (kononnya Malaysia menghantar surat bantahan),” kata Retno dipetik media tempatan.

Lebih 42,000 hektar kawasan hutan dan ladang direkodkan terbakar sejak Januari lalu, dengan beratus hektar dilaporkan masih terbakar membabitkan beberapa provinsi atau wilayah di Indonesia.

Lebih 6,000 petugas pemadam kebakaran yang turut dibantu polis dan tentera, kini dikerahkan memadam kebakaran di Riau, Jambi, Pekanbaru serta Kalimantan. – BERNAMA

Berita Harian X