Rabu, 11 September 2019 | 3:37pm

Balu komando mengandung

IPOH: Balu Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun, 31, terkilan kerana tidak dapat berkongsi berita gembira bakal menerima cahaya mata baharu selepas disahkan mengandung.

Nour Shafinar berkata, pada mulanya dia juga tidak menyangka dirinya mengandung kerana menganggap keadaan fizikalnya keletihan disebabkan apa yang dihadapi, selain mengamalkan diet.

“Dua hari (selepas) arwah tiada, ada kawan yang kenal saya bertanya, mengandung ke?

“Saya terkejut, betul ke saya mengandung? Sebab dalam sebulan lebih kebelakangan ini, saya tidak buat pemeriksaan, saya rasa biasa saja.

“Tetapi tengok keadaan badan memang rasa naik. Berat badan naik. Makan pun tak berapa makan sebab saya sedang diet. Sampailah doktor dan kaunselor datang jumpa saya dan dia bertanya mennapa badan berisi dan kemungkinan mengandung,” katanya.

Nour Shafinar berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, di kediaman ibunya di Taman Perpaduan Ulu Kinta, di sini hari ini.


Raja Permaisuri Perak,Tuanku Zara Salim (kiri) berkenan berangkat menziarahi balu Mejar Mohd Zahir Armaya,Nour Shafinar Harun di Taman Perpaduan. Mejar Mohd Zahir Armaya maut selepas tertembak ketika membuat demontrasi sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah baru-baru ini. - Foto Effendy Rashid

Beliau berkata, selepas menggunakan kit ujian kehamilan, dia memang disahkan mengandung.

“Saya kuatkan hati. Saya periksa melalui alat ujian kehamilan. Saya tengok (positif). Alhamdulillah saya mengandung, cuma saya sedih, arwah tak sempat tahu saya mengandung,” katanya.

Ditanya bila dia dijangka bersalin, Nour Shafinar berkata, dia tidak dapat memastikan usia kandungan kerana belum membuat pemeriksaan doktor.

Katanya, ditambah dengan keadaan yang dihadapinya ketika ini, dia agak bimbang mungkin akan menjejaskan kandungannya.

“Saya belum buat pemeriksaan lengkap kerana saya tidak tahu keadaan semasa bagaimana,” katanya.

Mohd Zahir, 36, pegawai komando daripada Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia pada Rabu lalu selepas dipercayai terkena tembakan ketika melakukan aksi demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Raja Permaisuri Perak,Tuanku Zara Salim (kiri) berkenan berangkat menziarahi balu Mejar Mohd Zahir Armaya,Nour Shafinar Harun di Taman Perpaduan. Mejar Mohd Zahir Armaya maut selepas tertembak ketika membuat demontrasi sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah baru-baru ini. - Foto Effendy Rashid
Berita Harian X