Selasa, 10 September 2019 | 9:35pm
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. - NSTP/Asyraf Hamzah

Indonesia tangkap dalang pembakaran haram

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Indonesia kini dalam usaha memberkas mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab melakukan aktiviti pembakaran haram hingga menyumbang kepada fenomena jerebu rentas sempadan di Malaysia.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata ia antara komitmen yang disuarakan republik berkenaan, susulan pertemuan dengan Duta Malaysia ke Indonesia, Zainal Abidin Bakar dan barisan pegawai Kementerian Luar, semalam.

Katanya, Kerajaan Indonesia turut giat merangka pelan bersama institusi berkaitan bagi memastikan fenomena jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara berupaya ditangani secara menyeluruh.

“Usaha berkenaan merangkumi penempatan 2,854 kakitangan, masing-masing di Sumatera dan Kalimantan untuk merungkai isu jerebu rentas sempadan, selain pembabitan 1,677 sukarelawan yang tampil membantu memadamkan kebakaran hutan.

“Sebanyak 16 helikopter digunakan di wilayah Kalimantan bagi melaksanakan operasi bom air di zon strategik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bee Yin berkata, kesan kemarau dan musim monsun barat daya setakat ini mencetuskan impak yang sangat teruk terhadap fenomena jerebu rentas sempadan di Malaysia, malah perangkaan tompok panas di Kalimantan dan Sumatera pada minggu lalu, masing-masing ialah 811 serta 247.

Susulan kewujudan tompok panas itu, katanya, indeks pencemaran udara di Semenanjung merosot disebabkan jerebu yang dibawa dari Sumatera, manakala Sarawak terkesan dengan pembakaran di Kalimantan.

“Kerajaan akan terus melakukan pembenihan awan sekiranya keadaan mengizinkan dan menyalurkan bantuan berkaitan ke Indonesia selepas mereka bersetuju dengan tawaran Malaysia,” katanya.

Berita Harian X