Selasa, 10 September 2019 | 6:03pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) hari ini berkenan menerima mengadap Putera Edward (kiri) di Istana Negara. - Foto BERNAMA

Agong perkenan Putera Edward menghadap

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Putera Edward, Britain di Istana Negara.

Turut hadir, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Putera Edward yang juga Earl of Wessex itu sedang melakukan lawatan dua hari ke Malaysia, sebahagian dari siri lawatan beliau ke Australia.

Ini pertemuan kali pertama antara Yang di-Pertuan Agong dan seorang anggota kerabat diraja Britain sejak Al-Sultan Abdullah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI pada Januari lalu.

Jadual lawatan Putera Edward ke Malaysia termasuk menghadiri Persidangan Serantau Asia Pasifik Duke of Edinburgh International Award dalam kapasitinya selaku pemegang amanah Yayasan Duke of Edinburgh’s International Award.

Beliau juga dijadual menyertai meja bulat belia bagi membincangkan nilai pendidikan tidak formal.

Sebagai naib-patron Sukan Komanwel, Prince Edward akan dibawa menyaksikan atlet Malaysia beraksi menjelang Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.

Dalam kenyataan dikeluarkan sebelum lawatan itu, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay berkata, lawatan itu akan membabitkan bidang kepentingan yang luas iaitu dari pendidikan dan perkongsian kesukanan kepada usaha bersama menangani bahan plastik buangan serta memulihara lautan.

Kali terakhir Putera Edward melawat Malaysia pada 2004, juga berkaitan Yayasan Duke of Edinburgh’s International Award.

Beliau adalah putera bongsu Queen Elizabeth II Britain dan Duke of Edinburgh. – BERNAMA

Berita Harian X